suria

Kedai gunting rambut, salun di zon hijau sahaja dibenarkan beroperasi

Hanya kedai gunting rambut dan salun yang terletak di 'zon hijau' sahaja boleh dibenarkan untuk beroperasi di bawah PKP fasa ketiga. Foto: Bernama

KEDAI gunting rambut dan salun yang terletak di 'zon hijau' sahaja boleh dibenarkan untuk beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ismail menegaskan, sungguhpun sesuatu sektor termasuk dalam senarai perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, namun tidak bermaksud ia dapat dibuka semula secara automatik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga” - Dr Noor Hisham komen isu kelonggaran, syor kekal apa yang dah dibuat ketika fasa 1 dan 2

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan meneliti semua pandangan yang diberikan. Ia tidak automatik tetapi saya difahamkan bahawa terdapat proses permohonan.

"Keputusan akhir terletak pada kementerian itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri pada Ahad.

Kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan pelanjutan PKP sehingga 28 April, selain mengumumkan beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibenarkan untuk dibuka.

Sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk kedai gunting rambut dan salun, kedai elektrik dan elektronik, pembinaan, optometri dan perkakasan (hardware).

Ismail berkata terdapat cadangan untuk membenarkan operasi perniagaan di dalam 'kawasan zon hijau' atau daerah yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiada kes Covid-19.

"Bagaimanapun, butiran dan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya. - THE STAR

gunting rambut, salun, PKP, MITI

Artikel Lain