suria

“Seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga” - Dr Noor Hisham komen isu kelonggaran, syor kekal apa yang dah dibuat ketika fasa 1 dan 2

KKM memerlukan masa sekitar satu atau dua minggu untuk menilai data baharu yang dikutip dalam pelaksanaan fasa ketiga PKP. fotoBERNAMA

PENGUMUMAN Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (Miti) yang membenarkan khidmat gunting rambut beroperasi bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 , 15 April ini mengundang pelbagai reaksi.

Terbaharu, ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi saranan agar perancangan pelaksanaan itu ditangguhkan buat sementara waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bimbang wujud kluster gunting rambut, Miti akan teliti semua pandangan rakyat

"Antara tindakan kita yang telah dilaksanakan pada fasa pertama dan kedua PKP yang menunjukkan tanda-tanda kejayaan menurunkan kes ialah kawalan sempadan, yang kedua kawalan pergerakan larangan perhimpunan dan amalan penjarakan.

"Jadi kalau kita lihat semula, semua tindakan kita seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga. Dari segi perancangan untuk membuka atau mengehadkan pergerakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) syorkan kita kekalkan apa tindakan yang telah kita laksanakan pada fasa satu dan dua.

"Mungkin perancangan boleh dijalankan tetapi mungkin pelaksanaan ditangguhkan sementara ini," ujarnya menerusi sidang media pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi ruang kepada KKM untuk menilai data terkini ekoran wujudnya cadangan menghantar pelajar-pelajar pulang ke rumah masing-masing, memasuki fasa 3 PKP.

Tambahnya, KKM memerlukan masa sekitar satu atau dua minggu untuk menilai data baharu yang dikutip dalam pelaksanaan fasa ketiga PKP.

"Begitu juga cadangan kita kepada KPT, memandangkan kita memasuki fasa yang penting, fasa ketiga... kita perlu memperketatkan lagi kawalan untuk menurunkan kes.

"Nasihat kita kepada KPT ialah bersabar, mungkin dalam seminggu dua. Sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu kita akan melihat data-data yang terkini.

"Jadi kalau kita ada data terkini untuk tempoh seminggu fasa ketiga, kita boleh memberi nasihat kepada KPT," ujarnya.

Artikel Lain