suria

Pesakit ada sejarah perjalanan ke Indonesia korban Covid-19 ke-24

Pelawat yang memasuki Hospital Pakar KPJ Seremban dikehendaki menggunakan cecair pembasmi kuman (Hand Sanitizer) sebelum memasuki premis tersebut ketika tinjauan fotoBernama baru-baru ini.

ANGKA kematian akibat Covid-19 di negara ini terus meningkat dengan jumlah terkini 24 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes kematian ke-24 merupakan kes ke-1056 iaitu warga Malaysia berusia 35 tahun.

Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada awal Mac 2020.

Dia mempunyai simptom Covid-19 lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu. 

Hasil ujian pengesahan Covid-19 menunjukkan dia positif jangkitan itu dua hari kemudian.

"Kesihatan pesakit itu dilaporkan merosot hari demi hari dan dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul  9.30 malam Khamis.

"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit," katanya.

Mengenai perkembangan terkini, Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 235 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat pukul 12 tengah hari Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan 2,031 kes.

"Daripada jumlah itu, 60 kes baharu itu daripada kluster perhimpunan di Seri Petaling, bakinya 175 dalam siasatan," katanya.

Beliau menambah, terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh sebanyak 215 kes.

Sementara itu, sebanyak 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). 

"Daripada jumlah tersebut, 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," ujar Dr Noor Hisham.

Covid-19, kematian, KKM, Dr Noor Hisham

Artikel Lain