suria

Dua ditahan ingkar PKP selamba main sepak takraw, badminton

Kedua-dua individu itu ditahan ketika sedang bermain sepak takraw dan badminton bersama rakan-rakan.

SEORANG remaja yang bermain sepak takraw bersama beberapa rakannya ditahan kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata remaja lelaki berusia 16 tahun itu dikesan bermain permainan itu dengan beberapa yang lain di Lorong Jemuduk, Perumahan Komuniti Bersepadu Kuala Pahang kira-kira pukul 7.20 malam Khamis.

"Ketika dihampiri pihak polis, mereka melarikan diri di sebalik lorong-lorong rumah. Hanya seorang daripada mereka gagal berbuat demikian.

"Alasannya ketika disoal siasat adalah kerana mahu membeli ubat di kedai berdekatan. Tetapi dia sebenarnya bermain sepak takraw ketika ditahan," katanya.

Jelasnya lagi, remaja itu gagal memberi alasan munasabah dan ditahan kerana dia berisiko menyebar jangkitan mengancam nyawa itu.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis semasa sekatan jalan raya di KM12 Jalan Pekan/Kuantan kerana tidak mematuhi PKP.

Mohd Razli berkata lelaki itu yang menaiki sebuah motosikal diarahkan supaya berhenti ketika dia melanggar lampu isyarat kira-kira pukul 9.30 malam Khamis.

"Ketika ditanya mengapa dia keluar semasa PKP, lelaki itu berkata dia baru saja pulang dari rumah kawannya di Kampung Langgar Pekan dan bermain badminton," katanya.

Mohd Razali berkata pihaknya menghubungi pos kawalan Covid-19 yang mengarahkan penahanan lelaki itu. - The Star

PKP, badminton, sepak takraw, Covid-19

Artikel Lain