suria

Sah! Seorang penumpang naik bas ekspres dari JB-Kuantan positif Covid-19

Kementerian Kesihatan turut meletakan risalah yang menyatakan kesan jangkitan Covid-19 sebagai langkah-langkah pengawalan penyebaran wabak berkenaan. Foto Bernama

SEORANG penumpang yang menaiki bas ekspres Plusliner dari Johor Bahru, Johor ke Kuantan, Pahang pada 16 Mac lalu, disahkan positif Covid-19, sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang mengesahkan perkara tersebut berkata, penumpang itu menaiki bas berkenaan 16 Mac lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan pada Rabu.

“Kita mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua penumpang naik bas ekspres bersama individu disyaki Covid-19 dari JB ke Kuantan telah hubungi bilik gerakan - “Sudah selesai”

ARTIKEL BERKAITAN: 110 kes baharu Covid-19 dicatatkan, jumlah terkini di Malaysia 900 kes

“Kes yang dinyatakan itu betul, pesakit itu memiliki gejala atau positif Covid-19,” katanya pada sidang media pada petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung laporan mengenai seorang penumpang Plusliner yang menaiki bas dari Johor Bahru ke Kuantan pada 16 Mac, dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan semua penumpang bas berkenaan sebagai kontak pesakit tersebut.

“Kita sedang mengesan dan akan memanggil mereka untuk membuat saringan kesihatan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Dr Adham berkata, pihaknya akan menasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan peraturan kepada perkhidmatan bas iaitu mengamalkan jarak sosial (social distancing) di dalam pengangkutan itu serta menggunakan alat perlindungan seperti topeng muka.

Terdahulu Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan menyeru semua penumpang yang menaiki bas itu untuk segera menghubungi bilik gerakannya bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Dilaporkan, kesemua penumpang bas ekspres Plusliner tersebut yang dinaiki individu yang disyaki Covid-19 itu sudah menghubungi bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Menurut laporan sebuah portal, penumpang itu menaiki bas berkenaan dari Larkin Sentral, Johor Bahru ke Terminal Sentral Kuantan pada pukul 7.45 malam 16 Mac lalu.

Sebelum itu penumpang yang dijangkiti virus itu dikatakan melakukan ujian saringan di Johor Bahru dan diarahkan menjalani kuarantin.

Keputusan ujian saringan itu kemudiannya didapati positif Covid-19, tetapi penumpang terbabit sudah menaiki bas ke Kuantan.

Plusliner, bas, Covid-19, Johor Bahru, Kuantan

Artikel Lain