suria

Semua penumpang naik bas ekspres bersama individu disyaki Covid-19 dari JB ke Kuantan telah hubungi bilik gerakan - “Sudah selesai”

Semua penumpang bas ekspres dari Johor Bahru ke Kuantan sudah menghubungi bilik gerakan Pusat Kesihatan Daerah Kuantan. Gambar sekadar hiasan.

KESEMUA penumpang bas ekspres Plusliner dari Johor Bahru, Johor ke Kuantan, Pahang yang dinaiki oleh individu yang disyaki Covid-19 sudah menghubungi bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Jurucakap bilik gerakan berkenaan berkata, dengan perkembangan itu, pihaknya menganggap 'kes sudah selesai'.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu

"Sudah selesai... semua penumpang sudah menghubungi dengan bantuan masyarakat awam. Kita akan buat seperti apa dalam prosedur," ujarnya ringkas ketika dihubungi mStar.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah keseluruhan penumpang yang telah menghubungi bilik gerakan.

Posting terbaharu di Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Terdahulu Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan menyeru semua penumpang yang menaiki bas itu untuk segera menghubungi bilik gerakannya bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Ia susulan seorang penumpang dalam bas berkenaan disyaki Covid-19.

Menurut laporan sebuah portal, penumpang itu menaiki bas berkenaan dari Larkin Sentral, Johor Bahru ke Terminal Sentral Kuantan pada 7.45 malam, 16 Mac lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan pada Rabu.

Sebelum itu penumpang yang dijangkiti virus itu dikatakan melakukan ujian saringan di Johor Bahru dan diarahkan menjalani kuarantin.

Keputusan ujian saringan itu kemudiannya didapati positif Covid-19, tetapi penumpang terbabit sudah menaiki bas ke Kuantan.

Artikel Lain