suria

Covid-19: Operasi perniagaan di 5 daerah Pahang diarah tutup 7pm-7am mulai Sabtu ini

Stesen minyak di lima daerah di Pahang perlu ditutup dari pukul 7 malam hingga 7 pagi setiap hari mulai 21 Mac ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

MULAI Sabtu ini (21 Mac), operasi perniagaan di lima daerah di Pahang mesti ditutup dari pukul 7 malam hingga 7 pagi setiap hari, sebagai langkah untuk membendung wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perintah itu akan dikenakan di daerah Kuantan, Pekan, Jerantut, Bentong dan Temerloh, di mana kes-kes Covid-19 dilaporkan.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa perintah berkenaan telah dilaksanakan di Cameron Highlands sejak 18 Mac apabila Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini saja” – Tolonglah! PM rayu ‘stay at home’... jangan balik kampung

Jelasnya, semua kedai, termasuk kedai makan, kedai serbaneka dan stesen minyak, tidak dibenarkan beroperasi selama 12 jam sebagai langkah pencegahan.

Ia termasuk penjualan makanan menerusi perkhidmatan secara pandu lalu (drive thru) atau bungkus (takeaway).

Perintah tersebut akan dilaksanakan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan atau sehingga notis selanjutnya.

"Kelmarin (17 Mac), kita mendapati terdapat peningkatan jumlah kes. Kita mahu mencegah penyakit itu daripada terus menular, maka kita mengenakan langkah ini.

"Jika keadaan bertambah baik, kita akan mengkaji semula perkara ini, dan kita tidak mahu rakyat panik kerana keadaan masih terkawal," kata Wan Rosdy dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setakat pukul 10 pagi Khamis, seramai 32 orang positif Covid-19 di Pahang, manakala 650 lagi dalam siasatan.

Wan Rosdy berkata, jika terdapat peningkatan dalam bilangan jangkitan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengenakan langkah-langkah drastik tambahan. - The Star

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak