suria

PH kemuka senarai 114 MP bukti sokong Tun M calon PM

Dr Mahathir (tengah) bersama sebahagian pimpinan PH yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa memperoleh sokongan sejumlah 114 Ahli Parlimen (MP) untuk beliau dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, beliau turut melampirkan senarai nama Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokongnya untuk menggalas jawatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: PH dakwa 114 Ahli Parlimen tandatangan SD sokong Tun M sebagai PM

"Kesemua jumlah ahli-ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8 di dalam bentuk Akuan Berkanun (SD) dan juga surat-surat rasmi dari ketua-ketua parti akan saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli-ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

"Saya berharap pihak Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya," katanya.

Dalam kenyataan yang sama juga, Pengerusi Bersatu itu mengesahkan beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen parti itu tidak menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan media Tun Dr Mahathir yang menyusul selepas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8. 

"Enam Ahli Parlimen Bersatu yang telah menandatangani akuan berkanun yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin adalah Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah)," katanya.

Beberapa jam lalu, dalam siaran Facebook Live oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, PH mendakwa mereka memperoleh 114 undi yang menyokong Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

Video Facebook Live itu, yang disiar ketika mesyuarat tertutup PH menunjukkan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian sedang menandatangani SD sambil disaksikan oleh Dr Mahathir.

Senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sebagaimana yang dilampirkan bersama kenyataan ahkbar beliau.

Baru yang juga bekas Menteri Kerja Raya didakwa menjadi Ahli Parlimen yang ke-114 menandatangani SD berkenaan.

Perkembangan terbaharu ini menyusul kira-kira tujuh jam selepas Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu sebagai perdana menteri ke-8.

Pelantikan Muhyiddin diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Negara, petang Sabtu.

Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin itu turut berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan perdana menteri akan diadakan 10.30 pagi Ahad.

SD, Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri, PH

Artikel Lain