suria

Koronavirus: Kerajaan perluas sekatan kepada 2 lagi wilayah di China

Malaysia memperluaskan sekatan perjalanan ke atas pelancong China dari Wilayah Zhejiang dan Jiangsu berkuatkuasa serta-merta. FOTO: BERNAMA.

PENULARAN wabak koronavirus memaksa Malaysia memperkenalkan sekatan perjalanan ke atas pelancong dari China.

Sebelum ini, negara kita hanya membuat sekatan bagi Wilayah Hubei membabitkan 16 bandar.

Pada Ahad, Malaysia memperluaskan sekatan perjalanan ke atas pelancong China dari Wilayah Zhejiang dan Jiangsu berkuatkuasa serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi pelancong Wuhan positif koronavirus, jumlah terkini 16 dijangkiti

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sekatan membabitkan larangan kemasukan pelawat di lima bandar dari Wilayah Zhejiang dan dua bandar dari Wilayaj Jiangsu.

"Kementerian Luar Negeri sudah memaklumkan pihak berkuasa di China termasuk pihak berkuasa tempatan, membuat sekatan membabitkan tiga wilayah iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

"Selaras dengan keputusan pada 27 Januari lalu, iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan oleh Kerajaan China, negara memutuskan memperluaskan tindakan itu kepada dua lagi wilayah iaitu Zhejiang dan Jiangsu.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diminta memperketatkan lagi sekatan sedia ada kepada semua pelancong tanpa mengira kerakyatan bagi yang pernah mengunjungi atau berada di tiga wilayah tersebut iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu untuk tidak memasuki Malaysia dalam tempoh 14 hari selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Quill City Mall di Kuala Lumpur.

Wan Azizah pada sidang media sama memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JIM dan agensi lain yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru juga diminta meningkatkan aspek kawalan dengan memberikan nasihat sewajarnya kepada orang ramai yang melalui pintu masuk berkenaan.

“Memandangkan situasi masih terkawal, tidak ada keperluan untuk menyekat terus perjalanan keluar masuk dari China kecuali tiga wilayah membabitkan 23 bandar yang dikenakan ‘lock-down’,” katanya.

Setakat semalam negara mencatatkan sebanyak 16 kes jangkitan koronavirus dicatatkan di Malaysia dan sebanyak 811 kematian direkodkan di seluruh dunia. - SINAR HARIAN.