suria

Lagi pelancong Wuhan positif koronavirus, jumlah terkini 16 dijangkiti

Peningkatan satu lagi kes menjadikan jumlah keseluruhan 16 individu dijangkiti koronavirus di negara ini. FOTO: BERNAMA.

SEORANG lagi individu disahkan positif koronavirus, menjadikan jumlah terkini seramai 16 orang dijangkiti virus itu di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, pertambahan kes baharu 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) itu membabitkan seorang pelancong wanita warga emas dari Wuhan, China.

"Kes ini adalah yang ke-16, seorang pelancong China, wanita berusia 67 tahun dari Wuhan. Dia adalah ibu kepada kawan kes ke-14 yang juga warga China.

"Dia kini ditempatkan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil," ujar Dr Wan Azizah menerusi sidang media bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu petang.

Tambahnya, 12 daripada 16 kes tersebut melibatkan warganegara China.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut mengulas kes seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor yang disahkan terkena koronavirus pada Selasa lalu.

Ujarnya, pihak terlibat sudah membuat pengesanan ke atas 69 kontak lelaki itu dan saringan menunjukkan keputusan negatif untuk kesemuanya.

"Kita sudah buat pengesanan kontak melibatkan pesakit berusia 41 tahun sebab sesiapa yang dia kontak akan dibuat saringan.

"Semua negatif," ujarnya ringkas menjawab soalan pemberita.

Untuk rekod, lelaki itu yang menjadi kes ke-sembilan koronavirus di Malaysia akibat dijangkiti sewaktu menghadiri persidangan antarabangsa termasuk beberapa peserta dari China.

Turut hadir dalam sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Wan Azizah sebelum itu mendengar taklimat KKM mengenai situasi semasa #2019nCoV di negara ini.

Artikel Lain