suria

Rakyat Malaysia ke-5 disahkan positif koronavirus, warga emas jadi mangsa ke-17

Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan mengesahkan wanita itu positif pada 8 Februari lalu manakala ahli keluarganya yang lain adalah negatif. FOTO: BERNAMA (Gambar Hiasan)

SEORANG wanita tempatan berusia 65 tahun disahkan positif koronavirus, menjadikan jumlah terkini seramai 17 orang dijangkiti virus itu di negara ini.

Kes baharu itu yang disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merupakan kes kelima membabitkan rakyat tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi pelancong Wuhan positif koronavirus, jumlah terkini 16 dijangkiti

"Kes baharu tersebut adalah wanita warganegara Malaysia berumur 65 tahun yang merupakan ibu mentua kepada rakyat Malaysia (kes ke-9) yang dilaporkan pada 4 Februari lalu.

"Dia mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta pergerakan yang terhad," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, wanita itu mempunyai kontak langsung dengan kes ke-9 semasa mereka duduuk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27, dan 28 Januari lalu.

Namun, wanita itu tidak pergi ke mana-mana dan hanya berada di rumah sejak 29 Januari hingga 4 Februari.

Dia kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta pada 7 Februari selepas mengadu kurang sihat dan mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tidak demam.

"Sebaik sahaja menantunya, iaitu kes indeks (kes ke-9) dikesan positif, dia telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Hasil siasatan mendapati dia tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China," tambah Dr Noor Hisham lagi.

Bagi melengkapi siasatan, sampel wanita itu dan ahli keluarganya yang lain turut diambil.

Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan mengesahkan wanita itu positif pada 8 Februari lalu manakala ahli keluarganya yang lain adalah negatif.

Dia kini dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Artikel Lain