suria

Insiden kecoh di program Syed Saddiq: Polis umum tubuh pasukan khas, jamin siasatan telus

Polis Johor akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian itu. Foto: The Star

SUSULAN insiden kekecohan semasa perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Ulu Tiram, Johor Bahru pada malam Jumaat, polis menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenalpasti suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din menerusi kenyataan berkata, kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq terpaksa lompat pagar selamat diri, dakwa diserang lebih 200 individu berlagak gengster

“Pada 31 Jan 2020 antara 9 malam dan 11.30 malam, bertempat di tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, satu program Rapat Umum Armada Johor dengan kehadiran YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan telah diadakan.

“Pihak polis Johor telah menerima laporan polis yang menyatakan bahawa semasa program itu berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt berwarna hitam dalam anggaran sejumlah 100 hingga 150 orang telah memasuki kawasan di mana program itu diadakan.

“Kumpulan itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian, akan tetapi pihak polis telah berjaya mengawal keadaan secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut Mohd Kamarudin, hasil siasatan awal polis mendapati kumpulan pemuda yang hadir itu dengan sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian.

Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 153/355/357/506 Kanun Keseksaan untuk menyiasat insiden itu dan pihak polis Johor akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Pihak polis juga menegaskan orang ramai untuk tidak mempolitikkan isu ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform media sosial yang boleh mencetuskkan sebarang masalah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menerusi laman Facebook berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dengan sengaja mencetuskan kekacauan di program Rapat Umum Armada Johor itu.

Beliau berkata ketika program dijalankan, ada satu kumpulan individu yang tidak dikenali yang datang dan mencetuskan huru-hara dan sengaja hadir untuk mengGanggu program. - BERNAMA

Artikel Lain