suria

“Jangan risau, kami OK” - Pelajar Malaysia di Wuhan

Pengunjung memakai topeng ketika keluar membeli belah di sebuah pasaraya di Wuhan.

"KELUARGA dan kawan-kawan di Malaysia jangan risau, kami okay dan selamat di sini," kata Yeong Kai Yi , 26, rakyat Malaysia yang menuntut di Central China Normal University di bandar Wuhan, China.

Penuntut tahun akhir 'School of Fine Arts' itu, bagaimanapun berkata pergerakannya terbatas hanya di hostel dan kampus universiti berkenaan susulan kerajaan China dilapor melaksana perintah berkurung di beberapa bandar raya di negara itu ekoran penularan wabak 2019 novel koronavirus.

"Keadaan sekarang sememangnya membuatkan saya risau nak keluar (ke tempat awam). Jadi, untuk selamat daripada dijangkiti, saya duduk dalam bilik saya sahaja," katanya.

Berkongsi situasi terkini di kampusnya, Yeong berkata hanya tinggal kira-kira 100 pelajar antarabangsa termasuk dirinya dan dua lagi pelajar dari Malaysia, selepas kesemua pelajar tempatan serta pensyarah pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti semester.

"Kami semua dinasihatkan tinggal di bilik masing-masing dan tidak keluar dari kampus,” katanya sambil menambah bahawa pihak universiti sentiasa mengambil berat mengenai keadaan mereka.

"In case ada apa-apa emergency, teacher (pensyarah) akan ikut pelajar ke hospital dan mereka juga ada berkongsi nombor-nombor kecemasan yang boleh dihubungi," katanya.

Ditanya mengenai bekalan makanan, Yeong berkata tiada sebarang masalah untuk mendapatkan makanan di universiti itu memandangkan kantin dan beberapa kedai di kampus masih beroperasi.

“Kami masih boleh mendapatkan makanan kerana kantin dan beberapa kedai di kampus masih dibuka," katanya yang sentiasa berhubung dengan keluarganya di Chemor, Perak.

Sementara itu, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang geofizik di China University of Geosciences di Wuhan, S. Balachandar, 43, berkata selepas sembilan hari 'berkurung' di rumah, beliau mengambil keputusan untuk keluar ke pasar berdekatan bagi membeli bekalan makanan tambahan.

"Semalam sahaja saya keluar rumah ke pasar berhampiran...dalam lima minit perjalanan. Untuk melihat ada atau tidak kedai dibuka.

"Nasib ada satu kedai buka yang jual sayur-sayuran sahaja, ada juga kedai jual buah-buahan dan satu kedai runcit dibuka dan bolehlah saya beli stok makanan di rumah yang hanya mencukupi hingga esok," katanya yang tinggal di luar kawasan kampusnya bersama isteri dan dua anak lelakinya.

Balachandar berkata beliau dan keluarganya berada dalam keadaan sihat dan berharap keluarganya di Malaysia tidak bimbang mengenai keadaan mereka.

"Kami sekeluarga selamat dan sihat, jangan risau," katanya yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor. 

Beliau berkata selain daripada sentiasa menghubungi lapan pelajar di Wuhan, pihak Kedutaan Besar Malaysia di China sedang berusaha untuk membantu menghantar bekalan makanan kepada semua pelajar Malaysia meskipun menghadapi masalah logistik. - BERNAMA

Artikel Lain