suria

Seorang lagi positif koronavirus, jumlah terkini 8 warga China dijangkiti

Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Foto Bernama

SEORANG lagi warga China disahkan positif koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti virus itu di negara ini seramai lapan orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif novel koronavirus (2019-nCoV) yang terbaharu membabitkan wanita warga China berusia 49 tahun dalam kalangan kontak rapat dengan pesakit yang disahkan positif virus tersebut.

“Kes ke-lapan terbaharu yang dilaporkan positif dalam kalangan kontak rapat ini merupakan isteri kepada kes 2019-nCoV ketujuh yang sebelum ini dilaporkan di Johor pada 29 Januari 2020. 

“Pesakit merupakan warga China berusia 49 tahun yang telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kes yang dilaporkan sehingga Khamis terdiri daripada tiga kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. 

“Kesemua kes positif 2019-nCoV ini terdiri daripada warga China,” tambahnya.

Menurut beliau, dari 10 Januari sehingga 29 Januari, jumlah pesakit PUI bagi jangkitan koronavirus adalah 89 orang, membabitkan 44 warga Malaysia, 42 warga China dan masing-masing satu bagi warga Jordan, Brazil dan Thailand.

“Tiga kes PUI telah disahkan positif 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai seramai dua orang dan seorang lagi di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi. Sebanyak 81 kes PUI adalah negatif dan lima masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

koronavirus, virus, China

Artikel Lain