“Negara sendiri kenapa tak boleh ambil tindakan sendiri?” - Ramai kecam kerajaan ikut garis panduan WHO, fakta ini mungkin buat anda sedikit tenang - Semasa | mStar

“Negara sendiri kenapa tak boleh ambil tindakan sendiri?” - Ramai kecam kerajaan ikut garis panduan WHO, fakta ini mungkin buat anda sedikit tenang

Kerajaan mempunyai sebab mengapa tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang warga China daripada memasuki Malaysia dalam menangani koronavirus.

RAMAI rakyat negara ini yang melahirkan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus yang sudah mencatatkan empat kes positif setakat ini.

Lebih ketara apabila medium media sosial digunakan untuk meluahkan perasaan kecewa dan tidak puas hati terhadap kerajaan yang didakwa tidak serius menangani isu berkenaan.

Kebanyakan netizen mempersoalkan tindakan kerajaan yang enggan menghalang pelancong dari China khususnya, daripada memasuki Malaysia dalam usaha untuk mengelakkan penyebaran virus dari negara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir jawab persoalan ramai kenapa Malaysia tak kuarantin, sekat pelancong China

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat kes keempat positif koronavirus

Bagaimanapun, memetik kenyataan daripada Facebook Pencerahan MY yang dimuatnaik di Facebook Kelab Che Det, untuk menghalang mana-mana warga asing daripada memasuki Malaysia atas sebab wabak, penyakit itu perlu diisytihar sebagai Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC) terlebih dahulu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Inilah sebabnya mengapa kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya halang warga China daripada memasuki Malaysia dalam menangani Wuhan Coronavirus (Koronavirus) ini.

“Walaupun dikecam dan didesak oleh seluruh masyarakat, kerajaan tetap perlu mengikut garis panduan secara profesional, bukan berlandaskan sentimen, emosi apatah lagi desakan netizen,” tulis kenyataan itu.

Posting awal mengenai koronavirus di Facebook Pencerahan MY.

Menurutnya lagi, WHO telah bersidang mengenai koronavirus ini dan mendapati belum ada keperluan untuk mengisytiharkan PHEIC.

“Staf kesihatan mengikuti profesionalisme, bukan emosi,” tulis kenyataan itu lagi.

Perkongsian tersebut bagaimanapun mendapat kecaman hebat, dengan rata-rata netizen seolah-olah tidak berpuas hati apabila garis panduan diguna pakai dalam situasi ini.

Antara komen netizen terhadap perkongsian di laman Facebook Pencerahan MY yang rata-ratanya mengecam info garis panduan mengenai koronavirus.

“Negara sendiri kenapa tak boleh ambil tindakan sendiri? Kenapa tunggu negara lain bagi arahan baru buat?”soal seorang netizen.

“Dah negara sendiri, boleh saja isytihar demi keselamatan rakyat. Ini sibuk nak ikut peraturan WHO la apa la,” komen netizen lain pula.

“Banyak negara dah sekat pelancong dari China. Adoi ini bukan masa untuk politik, ini soal nyawa rakyat,” kata seorang netizen lain.

Menyedari ramai yang 'panas' dengan penjelasan yang diberikan mengenai garis panduan WHO, pengendali Facebook tersebut membuat satu posting baharu untuk memberikan penjelasan yang lebih jelas.

Paparan skrin posting di laman Facebook Pencerahan MY mengenai garis panduan WHO dan sekatan pelancong China.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga warganegara China kini ditahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor selepas disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Tiga kes yang disahkan tersebut merupakan kalangan kontak rapat kepada dua kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).

Malam Sabtu, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes positif koronavirus di negara ini, menjadikan keseluruhan sebanyak empat kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes positif sebelum ini.

Kes terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China yang datang ke Johor Bahru pada 22 Januari, menaiki bas dari Singapura bersama 17 pelancong China lain.

Pesakit itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kini dipantau di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit.


koronavirus , Wuhan , China , pelancong , WHO

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain