suria

2 polis maut, 3 cedera dirempuh lori selepas selesai sekatan jalan raya

Foto di lokasi kejadian. Kredit: Bomba Johor.

DUA anggota polis maut manakala tiga yang lain cedera setelah dirempuh sebuah lori selepas selesai menjalankan tugasan sekatan jalan raya di Jalan Changgung, Pasir Puteh, Seri Alam, Johor Bahru, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Ismail Dollah berkata dua anggota polis tersebut Saifullah Mohamad, 32, dari Balai Polis Pasir Gudang dan Mohamad Johari Rosli, 32, dari Balai Polis Taman Scientex, Seri Alam meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian kira-kira 5.30 pagi itu berlaku ketika enam anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam selesai penugasan sekatan jalan raya dan sedang memuat kelengkapan ke atas Land Rover untuk balik ke pangkalan dan secara tiba-tiba mereka telah dirempuh oleh sebuah lori dari arah Kota Masai ke Taman Pasir Puteh.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh lima daripada enam anggota berkenaan serta Land Rover yang berada di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ekoran kemalangan tersebut, tiga anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu lori yang berumur 47 tahun berasal dari Kota Masai juga sedang menerima rawatan di HSI kerana mengalami cedera ringan.

"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

polis, lori, land rover

Artikel Lain