suria

Graduan kedua cuba protes gagal, UM jawab halang pelajar sertai konvo - “Kami temui plakad dilipat, mengandungi perkataan bersifat provokatif”

Edan Kon Hua En. Foto StarTV

UNIVERSITI Malaya (UM) tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan seorang pelajar universiti itu yang dihalang daripada menerima sijilnya di majlis konvokesyen pada Selasa, sehari selepas kejadian tunjuk perasaan seorang pelajar mengkritik naib canselor (VC) pada Isnin.

Merujuk kepada insiden membabitkan seorang graduan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, UM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya telah memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan istiadat konvokesyen berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna tanpa sebarang gangguan yang tidak diingini.

“Hasil pemeriksaan ke atas graduan terbabit yang dijalankan pagi semalam, pihak kami telah memui sekeping plakad yang dilipat, dalam pemilikan graduan tersebut yang mengandungi perkataan-perkataan yang bersifat provokatif.

“Anggota polis bantuan UM meminta graduan terbabit menyerahkan plakad tersebut kepada mereka,” menurut kenyataan itu tanpa menyebut nama pelajar berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan protes di pentas selepas terima skrol di majlis konvo, UM buat laporan polis - “Biadab, tidak dapat diterima sama sekali”

Menurut UM, penemuan tersebut memperlihatkan bahawa graduan berkenaan mempunyai niat untuk mengganggu perjalanan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung pada Selasa.

Menerusi akaun Facebook, Edan Kon Hua En mendakwa dia dihalang memasuki istiadat konvesyen di UM pada Selasa.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman istiadat yang dihadiri oleh kira-kira 1,500 tetamu termasuk ibu bapa, ahli akademik dan graduan lain, graduan tersebut telah dibawa keluar dari Dewan Tunku Canselor dan tidak dibenarkan menyertai istiadat konvokesyen.

“Berdasarkan siasatan awal yang telah dijalankan oleh pihak universiti, graduan ini didapati menggunakan akaun Facebooknya untuk menghasut graduan UM yang lain untuk turut serta dalam usahanya mendesak naib canselor untuk meletakkan jawatan.

“Apa yang kami bimbangkan adalah usaha berbentuk hasutan dengan memainkan agenda perkauman ini bukan hanya berkemungkinan mengancam keselamatan naib canselor, tetapi lebih daripada itu menggugat ketenteraman dan kerukunan awam terutama di Universiti Malaya,” tambah kenyataan itu.

Edan Kon Hua En (kiri) selepas didakwa dihalang menyertai istiadat konvokesyen. Foto Facebook Edan Kon Hua En

UM menjelaskan bahawa pemeriksaan terhadap graduan tersebut diadakan sebelum sidang ketujuh istiadat pada Selasa bermula, di mana kawalan keselamatan itu diperketatkan susulan insiden protes oleh seorang graduan lain pada Isnin.

Tegas UM, universiti itu sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara, namun sebagai institusi pengajian tinggi memegang amanah besar untuk mendidik generasi masa depan, kebebasan itu perlu dilengkapi dengan tanggungjawab.

“Justeru, apa jua tindakan berlandaskan prinsip tersebut perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang sesuai,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, seorang graduan ijazah perakaunan yang dilaporkan sebagai Edan Kon Hua En didakwa cuba melakukan protes atas pentas konvokesyen bagi menyatakan perasaan tidak puas hati kepada naib canselor universiti itu.

Yan ke melakukan protes sewaktu majlis konvokesyen sedang berlangsung pada Isnin.

Bagaimanapun, tidak seperti protes yang dilakukan graduan Wong Yan Ke pada Isnin, usaha itu tidak berjaya selepas dikesan polis bantuan.

Video berdurasi 14 saat yang tular di Twitter menunjukkan Yan Ke melaungkan ‘ini tanah Malaysia’ sambil mengangkat plakad yang tertera perkataan ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima ijazahnya.

Berdasarkan plakad tersebut, Yan Ke mendesak Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim untuk meletak jawatan kerana didakwa gagal melindungi hak pelajar dan menyelesaikan krisis kewangan universiti tersebut selain didakwa menjadi boneka politik.

UM dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden itu. 

Artikel Lain