suria

Golongan B40 yang terima BSH boleh semak kelayakan subsidi petrol mulai hari ini

Data penerima PSP daripada golongan B40 itu adalah berdasarkan data asas penerima BSH yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, dan ia disilang semak dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). FOTO: BERNAMA.

SERAMAI 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal psp.kpdnhep.gov.my. bermula Selasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sekiranya ada nama penerima bantuan yang tercicir, mereka boleh melengkapkan maklumat melalui fungsi rayuan dalam portal itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Program Subsidi Petrol akan bermula Januari 2020, ini 2 kategori yang layak terima!

Beliau berkata data penerima PSP daripada golongan B40 itu adalah berdasarkan data asas penerima BSH yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, dan ia disilang semak dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Silang semak dilakukan berdasarkan kriteria pemilikan kenderaan yang layak untuk bantuan PSP. Hasil silang semak ini, kementerian mengenal pasti 2.9 juta penerima bantuan PSP daripada golongan B40 yang layak untuk menerima subsidi ini.

"Walaubagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa data ini masih memerlukan penambahbaikan dan ingin memohon rakyat dalam kategori B40 untuk menyemak status mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata jika ada daripada golongan yang layak menerima BSH dan memiliki kenderaan sepertimana kriteria dalam PSP tetapi belum berdaftar dengan BSH, mereka diminta untuk segera mendaftar program BSH dengan Kementerian Kewangan.

“Jika anda adalah penerima BSH tetapi baru membeli kenderaan yang layak, sila mendaftar kenderaan anda dengan JPJ dan membuat permohonan baharu di portal PSP," katanya.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan bahawa semakan kelayakan hari ini belum lagi termasuk golongan bukan penerima BSH yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2020.

"Proses serta tarikh permohonan baharu untuk penerima PSP daripada golongan bukan penerima BSH akan diumumkan setelah butiran pelaksanaannya diperhalusi bersama Kementerian Kewangan," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus melalui hotline 1800886800, e-mel: [email protected] atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-2786356. - BERNAMA.

Artikel Lain