suria

Pengerusi Maiwp sebak kongsi kisah “air sirap ganti susu anak”, 25 pekerja Utusan terima sumbangan asnaf miskin segera

Pengerusi Maiwp, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Maiwp, Datuk Abdul Aziz Jusoh menyampaikan bantuan zakat kepada 25 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Foto LOW LAY PHON

KEMELUT kewangan yang melanda Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bukan sahaja memberi kesan yang mendalam kepada lebih 800 kakitangannya, malah mengundang sebak Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Syed Hussien berkata, beliau mendapat laporan daripada bekas Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Zaini Hassan mengenai kesusahan yang dialami kakitangan organisasi media itu.

"Sampaikan ada yang patutnya beri anak minum susu tapi beri air sirap sebab tak mampu," katanya sambil beberapa kali menahan sebak.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi 80 tahun berakhir, kakitangan Utusan Malaysia diminta kemas barang, pulangkan harta syarikat

ARTIKEL BERKAITAN: Sebahagian kakitangan Utusan akan diserap semula dalam pengurusan baharu

Pada Jumaat, Maiwp menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 keseluruhan kepada 25 bekas kakitangan Utusan yang layak, dengan setiap seorang menerima wang tunai RM1,000 dan barang keperluan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Maiwp, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Mohd Zaini.

Ariffin Yasin (kanan) antara 25 kakitangan Utusan yang menerima sumbangan daripada Maiwp.

Salah seorang kakitangan Utusan yang menerima sumbangan tersebut, Shamsul Rizal Shari, 44, berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan Maiwp yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka susulan syarikat menghentikan operasi pada Rabu lalu.

"Kami terkejut dan berasa terkilan dengan tindakan syarikat menghentikan operasi tanpa notis awal.

"Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa berdepan dengan banyak masalah kewangan terutama tunggakan bil kerana gaji lambat dibayar," ujar bapa empat anak itu.

Sementara itu, Siti Nuratiqah Abdul Jalil, 29, berkata, walaupun belum berumah tangga, sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia mempunyai tanggungjawab terhadap keluarganya.

"Adik-adik saya masih bersekolah dan ayah pula sedang cuti sakit selepas menjalani pembedahan akibat tumor otak (bukan kanser).

"Dengan keadaan sekarang bukannya senang nak cari kerja, macam mana nak tampung keluarga kalau diberhentikan kerja macam ni," ujar pereka grafik itu dengan nada kesal.

Bercakap pada sidang media, Syed Hussien menjelaskan, dalam kes pekerja Utusan, asnaf miskin segera itu dikategorikan apabila mereka bekerja kemudian diberhentikan kerja sehingga menjadi asnaf dan tiada simpanan kewangan untuk menyara kehidupan.

"Berdasarkan data-data dan temuduga oleh pegawai kita (Baitulmal Maiwp) dengan beberapa kakitangan Utusan... kita istilahkan asnaf miskin segera kepada mereka yang layak," katanya.

Selain sumbangan wang tunai RM1,000 setiap seorang, kakitangan Utusan turut menerima bantuan berupa barang keperluan.

Beliau menambah, Maiwp menawarkan 28 skim bantuan zakat kepada golongan asnaf yang layak seperti keperluan asas, perubatan, keusahawanan, kebajikan dan dakwah.

"Hari ini kita beri sumbangan kepada 25 kakitangan Utusan yang layak dan kita akan meneruskan fasa untuk mengenal pasti lebih ramai kakitangan Utusan yang layak mendapat sumbangan menerusi bantuan zakat," tambahnya.

Menerusi bantuan bulanan Maiwp, lebih 22,000 asnaf mendapat sumbangan dengan perbelanjaan hampir RM116 juta setahun.

Nasib lebih 800 kakitangan Utusan menjadi tanda tanya susulan pengerusi eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir pada Rabu mengeluarkan memorandum yang menyebut syarikat berkenaan akan dihentikan operasi pada 9 Oktober manakala hari terakhir perkhidmatan kepada pekerja ialah 31 Oktober.

Abd Aziz berkata, lembaga pengarah Utusan meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim pada 7 Oktober kerana syarikat berkenaan tidak lagi boleh meneruskan perniagaannya.

Artikel Lain