suria

Zaman Khan dimasukkan ke ICU HKL

Zaman Khan Rahim Khan.

BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilaporkan pengsan pagi Khamis.

Anak sulungnya, Zakimi berkata bapanya yang mempunyai masalah buah pinggang pengsan ketika sedang menunggu temujanji berjadual dengan doktor di HKL kira-kira pukul 11 pagi dan diberikan bantuan pernafasan.

"Beliau kini dibawah pemerhatian rapi doktor untuk tempoh 48 hingga 72 jam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Pada Januari tahun lepas, Zaman Khan pernah menjalani rawatan di HKL susulan mengalami pendarahan dalam usus.

Zaman Khan, 76, merupakan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1993 yang terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P. Kalimuthu yang dikenali sebagai Bentong Kali.

Beliau juga merupakan antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997. - BERNAMA

Zaman Khan, ICU, pengsan

Artikel Lain