suria

Karnival Rahmah 2019: Merakyatkan Rahmatan Lil Alamin

Mujahid Yusof Rawa.

SATU karnival dinamakan Karnival Rahmah 2019 bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai supaya menghayati gagasan pentadbiran Islam dibawa kerajaan akan dianjurkan pada September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun dinamakan Karnival Rahmah 2019, program itu turut mensasarkan kehadiran seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.

Jelas beliau, program itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

"Ia satu karnival untuk mengajak orang ramai untuk hidup dalam hormani dan hormat-menghormati. Walaupun disebut Karnival Rahmah, orang ingat ada unsur Islamik (semata-mata) dan tak ada kena mengena dengan orang lain, tetapi sebenarnya ia untuk semua kerana ia salah satu keperluan dalam Maqasid Syariah.

"Karnival ini akan dibuat berkonsepkan karnival dalam karnival dan dijayakan melalui rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi, kementerian dan juga pihak swasta," katanya semasa melancarkan logo Karnival Rahmah 2019 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada petang Khamis.

Turut serta pada pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Jakim Datuk Nordin Ibrahim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Selain itu, Mujahid turut menggesa mana-mana pihak sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta untuk turut serta menjadi rakan strategik bagi menjayakan karnival berkenaan.

Karnival Rahmah 2019 akan dianjurkan di tiga buah negeri iaitu Putrajaya, Pulau Pinang dan Kelantan.

Program tersebut akan diadakan di Putrajaya sebagai lokasi pertama pada 26 hingga 29 September depan bertempat di Dataran Putrajaya.

Artikel Sebelum

Zakiah Hanum meninggal dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain