suria

Jerebu: Sekolah bakal ditutup jika bacaan IPU lebih paras 200

Jerebu di Kuala Lumpur mencecah paras sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 84 pada jam 1.15 petang tadi. - FOTO ZAHID IZZANI.

TINDAKAN menutup sekolah akan diambil sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200 di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sekiranya IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar kelas perlu dihentikan segera.

"JAS juga membuat pemakluman dari semasa ke semasa kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pendidikan mengenai status terkini IPU dan tindakan-tindakan yang perlu diambil berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan," katanya pada Khamis.

Dalam kenyataan tersebut, bacaan IPU yang direkodkan pada pukul 9 pagi Khamis menunjukkan tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 64 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu di Johan Setia, Klang dengan bacaan IPU 104.

Bacaan IPU tinggi di lain-lain kawasan yang dicatatkan di Nilai, Negeri Sembilan (89), Cheras, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan bacaan IPU 85.

Sementara itu, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan meningkatkan pemantauan dan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan drone.

"JAS akan mengambil tindakan tegas bagi kawasan kebakaran yang telah berlaku dan mengenalpasti pemilik tanah kawasan kebakaran yang terlibat untuk tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Sehingga kini sebanyak lima kertas siasatan berkaitan pembakaran terbuka oleh JAS," ujarnya.

Selain itu, JAS turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes-kes kebakaran yang berlaku.

"JAS juga sentiasa memantau bacaan dan tren IPU stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini memaklumkan bahawa negara ini bakal berdepan dengan pencemaran udara atau jerebu disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia.- Sinar Harian.

jerebu, IPU, Jabatan Alam Sekitar

Artikel Sebelum

Artikel Lain