Insiden tak bersalaman: Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor - Semasa | mStar

Insiden tak bersalaman: Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor

Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Johor.

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar susulan tindakannya tidak bersalaman dengan baginda pada Khamis.

Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar memaklumkan bahawa satu surat permohonan maaf telah diutuskan oleh Mukhriz kepada Istana Johor pada Jumaat.

"Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi memohon ampun dan maaf atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Sultan Abu Bakar, Pahang semalam.

"Menteri besar Kedah telah menyembah maklum kepada baginda bahawa Kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan beliau sendiri dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman".

Insiden tersebut berlaku ketika Sultan Ibrahim memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Video Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim menjadi tular di media sosial dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat turut berkongsi sebuah video berdurasi 14 saat  yang dimuat naik di Twitter Friends of Johor.

Dalam rakaman tersebut, Mukhriz dilihat tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim sebaliknya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim.

Mukhriz , Sultan Johor , Tak bersalaman