suria

Hanya suka-suka alasan remaja tembak monyet sebab tak sebut 'baby sayang'

Seorang remaja menembak mati seekor monyet.

HANYA untuk tujuan suka-suka dikenal pasti sebagai motif seorang remaja lelaki tergamak menembak mati seekor monyet di Sitiawan, dekat sini beberapa hari lepas dan rakaman perbuatan kejam itu tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, motif perbuatan itu diakui sendiri oleh remaja berumur 18 tahun tersebut dan mengakui monyet ditangkap di kebun kerana merosakkan hasil tanaman.

"Remaja lelaki berkenaan mengaku mengambil pistol bapanya yang sedang tidur di dalam pondok di kebun pisang bapanya pada hari kejadian," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di Lumut, Perak pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Monyet ditembak sampai berdarah kerana tak panggil ‘baby sayang’

ARTIKEL BERKAITAN: Tembak monyet kerana tak sebut ‘baby sayang’, pemberi maklumat ditawar ganjaran RM2,000

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak ditahan kes tembak mati monyet sebab tak sebut ‘baby sayang’

Katanya, remaja tersebut ditahan bersama ayahnya seorang peniaga yang juga pemilik pistol berkenaan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada pukul 9.20 malam Rabu dan kedua-duanya direman mulai hari ini hingga 26 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan. 

Razarudin berkata, pihak polis turut merampas sepucuk pistol warna hitam jenis Glock 42 Auto, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api ayah remaja itu.

Dalam kejadian antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi pada 18 Mei lalu, remaja lelaki itu menembak seekor monyet liar dengan satu das tembakan sebelum membuang sangkar dan bangkai haiwan tersebut di sebuah sungai di Bota.

Razarudin berkata, ayah suspek memaklumkan pelaku dalam video yang tular itu seakan anaknya dan polis akan ke lokasi kejadian untuk meneruskan siasatan lanjut.

"Setakat ini, hasil siasatan awal mendapati itu kejadian pertama oleh suspek dan kita juga belum dapat memastikan jika remaja itu mempunyai masalah mental, namun siasatan lanjut akan dijalankan. 

"Kita menasihati pemegang lesen senjata api supaya lebih berhati-hati dalam memastikan keselamatan senjata dan meletakkannya di tempat lebih selamat supaya tidak boleh diambil oleh anak dan kes ini bapa suspek mengakui tidak tahu senjata api itu diambil oleh anaknya,” katanya.

Razarudin berkata, kejadian seumpama itu juga tidak seharusnya berlaku kerana bukan sahaja membabitkan kesalahan menggunakan senjata api, malah ia adalah satu penganiayaan terhadap haiwan.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan remaja terbabit menembak seekor monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu. - Bernama

tembak, monyet

Artikel Lain