suria

Tembak monyet kerana tak sebut ‘baby sayang’, pemberi maklumat ditawar ganjaran RM2,000

Persatuan Haiwan Malaysia memberi ganjaran kepada sesapa yang dapat memberi maklumat mengenai individu yang menembak seekor monyet kerana tidak menyebut 'baby sayang'

PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM2,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai individu yang menembak seekor monyet, gara-gara tidak menyebut baby sayang.

"Animal Malaysia menawarkan ganjaran RM2,000 tunai kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat siapakah pembunuh ini?

"Di manakah tempat tinggalnya, siapakah ibu bapanya dan maklumat lain hingga tertangkapnya pembunuh haiwan yang sadis ini," menurut Animal Malaysia dalam satu kenyataan di halaman rasmi Facebooknya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Monyet ditembak sampai berdarah kerana tak panggil 'baby sayang'

Animal Malaysia turut mempersoalkan kesahihan video tersebut, sama ada ia berlaku di Malaysia atau luar negara.

"Adakah benar perkara ini berlaku di Malaysia atau luar negara dan dialih bahasa menggunakan Bahasa Melayu?," soal persatuan itu.

Menerusi video tular itu, tindakan kejam lelaki tersebut membangkitkan kemarahan netizen, dengan beberapa netizen menyuarakan hasrat menambah nilai ganjaran seperti yang dapat dilihat di ruangan komen laman Facebook Animal Malaysia.

"Saya naikkan RM1,000 lagi kalau sesiapa dapat beri maklumat sampai tertangkapnya syaitan ni. Apa-apa boleh terus PM (mesej secara terus)," kata seorang netizen.

"Aku naikkan RM500 jika perlukan bantuan dan betul-betul ada maklumat hubungi aku," ujar seorang lagi netizen.

Pengumuman Persatuan Haiwan Malaysia mengenai ganjaran wang tunai.

Terdahulu, kecoh mengenai video yang memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet gara-gara tidak memanggilnya 'baby sayang'.

"Kalau kau tak cakap baby sayang, aku tembak kau. Satu, dua, tiga," kata lelaki itu sebelum melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol kepada haiwan tersebut yang kemudian kelihatan terkulai layu.

"Lain kali cakap baby sayang. Dia tak nak cakap baby sayang," tambah lelaki kejam itu dengan video menunjukkan kesan darah monyet tersebut akibat ditembak.

Bagaimanapun tidak dipastikan jenis senjata yang digunakan, begitu juga lokasi kejadian.

Turut tidak dapat dipastikan nasib haiwan malang itu.

Panggilan baby sayang mula meraih perhatian di laman sosial selepas netizen mengemukakan soalan kepada pelakon dan pengacara, Mira Filzah untuk memilih panggilan antara baby atau sayang, dan selebriti itu memilih baby sayang.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain