Dua beranak ditahan kes tembak mati monyet sebab tak sebut ‘baby sayang’ - Viral | mStar

Dua beranak ditahan kes tembak mati monyet sebab tak sebut ‘baby sayang’

Rakaman video seorang pemuda menembak mati seekor monyet.

POLIS menahan dua beranak berhubung insiden menembak mati seekor monyet gara-gara tidak menyebut ‘baby sayang’ menerusi video yang tular.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis (IPD) Manjung melakukan serbuan di rumah suspek pada pukul 9 malam Rabu.

“Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Kenangan, Sitiawan di Perak pada pukul 9 malam tadi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang bapa dan anak lelakinya serta merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam insiden itu,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Monyet ditembak sampai berdarah kerana tak panggil ‘baby sayang’

ARTIKEL BERKAITAN: Tembak monyet kerana tak sebut ‘baby sayang’, pemberi maklumat ditawar ganjaran RM2,000

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dibenarkan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.

Sementara itu, Asmawati memberitahu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain akan membuat sidang media berhubung kes tersebut pada pukul 12 tengah hari.

Terdahulu, kecoh di media sosial sebuah video berdurasi 20 saat yang memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet gara-gara tidak memanggilnya baby sayang.

"Kalau kau tak cakap baby sayang, aku tembak kau. Satu, dua, tiga," kata lelaki itu sebelum melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol kepada haiwan tersebut yang kemudian kelihatan terkulai layu.

"Lain kali cakap baby sayang. Dia tak nak cakap baby sayang," tambah lelaki kejam itu dengan video menunjukkan kesan darah monyet tersebut akibat ditembak.

monyet , baby sayang

Artikel Lain