suria

Sisa berbahaya ditemui di tebing sungai

Sisa berbahaya dikesan dibuang di tebing Sungai Kelemak di Alor Gajah, Melaka.

SISA buangan kilang yang berbahaya ditemui di sepanjang tebing Sungai Kelemak di Alor Gajah, Melaka.

Pengerusi Persatuan Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Melaka, K. Murali Krishna berkata, beliau melawat ke lokasi itu pada Rabu susulan aduan daripada penduduk.

Beliau berkata penduduk yang tinggal berhampiran dengan lokasi kejadian mengesan beberapa kenderaan membuang sisa di kawasan tersebut, dengan tayar terpakai dan tin aerosol yang ditemui berselerak di kawasan sekitar.

"Sisa itu dilupuskan secara haram dan terdapat juga bau kimia yang busuk," katanya selepas lawatan itu sambil menambah bahawa sisa domestik dan banyak itu dilihat dibuang di kawasan berkenaan.

Murali berkata, bau busuk itu menyebabkan beliau berasa pening dan mual, sambil menambah bahawa tapak pembuangan sisa tersebut berhampiran kawasan Perindustrian Seri Kelamak.

Tambah Murali, beliau akan memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah untuk memulakan tindakan terhadap dalang terbabit dan mengawal pembuangan sisa haram.

Pada 30 April lalu, 18,076 pengguna di Alor Gajah mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka.

Pencemaran disebabkan oleh air dari kolam ternakan ikan dilepaskan oleh dua penternak ikan keli di kawasan Hutan Percha di Alor Gajah.

Antara kawasan yang terlibat termasuk Simpang Ampat, Taman Kebaya-Jalan Kolam Air, Kawasan Perindustrian Kelemak, Saujana Height, Solok Duku dan Pulau Sebang. - The Star

sisa, bahaya, kimia, Sungai Kelemak

Artikel Lain