suria

Lama ‘menghilang’, Datuk Bandar Ipoh bakal digugurkan

Zamri Man.

DATUK Zamri Man bakal digugurkan sebagai Datuk Bandar Ipoh kerana tidak hadir tanpa cuti (AWOL).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, Zamri yang difahamkan tidak sihat, tidak mengemukakan sebarang cuti sakit dan tidak hadir selama beberapa bulan.

"Situasi membabitkan Datuk Bandar merupakan yang pertama.

"Ia seperti dia dah hilang.

"Beliau tidak memberikan sebarang surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun memberitahu saya yang dia sakit," kata Yong kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2019 di Ipoh pada Sabtu.

"Beliau hanya serahkan cuti sakit dua bulan selepas (hilang)," tambahnya tanpa menjelaskan butiran terperinci mengenainya.

"Menurut peruntukan undang-undang, seorang datuk bandar atau presiden majlis boleh mengambil cuti sakit sehingga 90 hari. Malah, tempoh tiga bulan juga telah digunakan," tambahnya.

Difahamkan kali terakhir Zamri dilihat di khalayak adalah pada acara berbasikal, Ogos tahun lalu.

Beliau pertama kali dilantik sebagai datuk bandar pada 2015, bagi menggantikan Datuk Harun Rawi.

Yong berkata, dia cuba untuk melawat Zamri di rumahnya tetapi tidak dapat menemuinya.

"Saya hanya difahamkan daripada setiausaha PBT dan daripada Majlis Bandaraya Ipoh mengenai beliau sakit, tetapi tiada maklumat mengenai keadaan dan di mana beliau berada.

"Saya masih tidak dapat menghubunginya. Saya betul-betul tak tahu apa yang berlaku dengan beliau," tambahnya. - The Star

Zamri Man, Ipoh, AWOL

Artikel Lain