suria

Sekolah sudah dibuka tapi bantuan dijanjikan tak kunjung tiba, ibu bapa terpaksa 'shopping' saat akhir

BERATUS-ratus murid sekolah di sekitar Kuala Lumpur yang sepatutnya menerima bantuan baju dan kasut sekolah percuma dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pada sesi persekolahan 2019 tertanya-tanya mengenai nasib mereka kali ini.

Barang persekolahan yang dijanjikan tidak kunjung tiba dan beberapa ibu bapa menghubungi StarMetro untuk membuat aduan mengenai perkara itu.

Menurut mangsa, barang-barang tersebut sepatutnya diedarkan sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada 2 Januari lalu tetapi sehingga hari ini masih belum diterima.

Ia menyebabkan beberapa ibu bapa terpaksa membeli barang keperluan sekolah anak-anak mereka sendiri di saat akhir pada 1 Januari lalu.

"Saya bergegas ke pusat beli-belah bagi merebut jualan kembali ke sekolah pada hari terakhir," kata Rohayu Samad dari Cheras.

Menurut Rohayu, mereka dijangka menerima baju sekolah bulan lalu bagi membolehkan mereka membuat ubah suai sekiranya perlu.

"Kami tidak menjangka kelewatan itu," kata Rohayu yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Satu lagi pasangan lagi ibu bapa dari Setapak berkata mereka kecewa kerana baju dan kasut sekolah tidak diagihkan tepat pada waktunya tetapi bernasib baik kerana mempunyai pilihan lain.

YWP adalah organisasi yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan salah satu projek tanggungjawab sosial korporatnya adalah program 'Kembali ke Sekolah'.

Pelajar dari kumpulan pendapatan B40 adalah penerima bantuan program tersebut.

Setelah dipilih, YWP akan menyerahkan barang keperluan sekolah itu kepada ahli-ahli Parlimen di sekitar Kuala Lumpur untuk diserahkan kepada sekolah-sekolah di kawasan mereka.

StarMetro menghubungi pejabat Ahli Parlimen Lim Lip Eng untuk mengetahui sama ada berlaku kelewatan dan pembantu khasnya, Adeline Soh mengesahkan pejabat mereka tidak menerima barangan tersebut.

"Kami hanya dimaklumkan baju sekolah sepatutnya diserahkan kepada kami pada bulan lalu.

"Kami menerima panggilan daripada kakitangan YWP yang memberitahu akan berlaku kelewatan dan kami hanya akan mendapat baju sekolah tersebut pada hujung Disember," kata Soh sambil menambah dia dimaklumkan baju sekolah tersebut hanya akan diterima bulan ini.

Soh turut mempersoalkan langkah untuk menempah baju dan kasut sekolah dari pembekal luar negara apabila pengeluar tempatan menawarkan produk lebih murah dan berkualiti.

Pengurus Komunikasi, Penyelidikan dan Tugas Khas YWP, Ida Harlina Ikhwan Nasir mengesahkan kelewatan itu.

"Kami mohon maaf atas kelewatan yang di luar jangka.

"Memandangkan kami berurusan dengan beratus-ratus sekolah, terdapat prosedur yang perlu diikuti dan ia mengambil masa," katanya.

Ida Harlina memberitahu hanya pembekal dengan kualiti dan harga terbaik yang dipilih.

"Kami tidak akan berkompromi dengan kualiti dan kami juga memastikan bahawa sekolah-sekolah telah dimaklumkan mengenai kelewatan itu, "katanya.

Seramai 20,000 pelajar akan menerima manfaat daripada program ini berbanding 16,000 tahun lalu. - The Star

Artikel Berikut

Artikel Lain