suria

Gara-gara tegur pelanggan jangan merokok, pekerja restoran ditampar

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Seorang pekerja di sebuah restoran mamak ditampar dan ditengking kerana mengingatkan pelanggan supaya tidak merokok.

M. Selvam, 25, dari India, sedang melakukan tugasnya untuk mengingatkan beberapa pelanggan mengenai larangan merokok di premis makanan, sebelum salah seorang daripada mereka menamparnya.

"Ia berlaku pada kira-kira pukul 12.30 tengah pada hari pertama larangan itu dikuat kuasakan pada 1 Januari. Kita meletakkan papan tanda dilarang merokok, tetapi segelintir pelanggan masih merokok.

"Saya datang dan bercakap secara baik kepada sekumpulan tiga lelaki supaya berhenti merokok, tetapi salah seorang daripada mereka bangun dan menampar saya sebelum kesemua mereka beredar," katanya ketika ditemui di restoran tersebut di Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.

Pada hari tersebut, Selvam kemudian ditengking pula oleh seorang pelanggan lain di atas sebab yang sama.

"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak boleh mengikut peraturan dan berkelakuan seperti itu," katanya.

Majikan Selvam kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

"Kita menggesa individu yang terlibat supaya tampil dan memberi keterangan kepada kita," katanya. - The Star

merokok, restoran mamak

Artikel Sebelum

Artikel Lain