Bedah siasat jenazah Adib selesai, dibawa keluar dari IPFN - Semasa | mStar

Bedah siasat jenazah Adib selesai, dibawa keluar dari IPFN

Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim untuk dibawa menaiki helikopter di TUDM Subang ke kampung halamannya di Kedah. - Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa keluar dari perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, di sini, pada  7.18 pagi selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari IPFN menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke kemudahan Airod, Subang.

Allahyarham Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter di lapangan terbang berkenaan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah atas permintaan keluarga.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Bapa Muhammad Adib kelihatan sugul ketika dibawa ke HKL awal pagi Selasa. - Bernama

Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. - Bernama

Muhammad Adib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jenazah Adib diterbangkan ke Kedah pagi ini

Artikel Lain

Derita si janda muda