suria

Terima kasih Rafizi, KJ - Nurul Izzah

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar mengucapkan terima kasih kepada Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin di atas sokongan mereka berhubung keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Beliau berkata Rafizi Ramli adalah calon terbaik untuk jawatan timbalan presiden PKR.

Rafizi bertanding untuk jawatan itu tetapi tewas kepada pencabarnya, Datuk Seri Azmin Ali pada pemilihan PKR baru-baru ini.

"Terima kasih, teman seperjuangan, @rafiziramli. Walau saudara tidak berjaya dalam pemilihan parti, saudara telah berjaya meyakinkan saya bahawa pilihan terbaik adalah mendokong saudara selaku calon timbalan.

"Semoga Allah lindungi idealisme perjuangan kita bersama. Mara terus," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah menyifatkan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau sebagai aspirasi.

"Terima kasih @Khairykj. Saudara merupakan inspirasi kepada kawan mahu pun lawan di parlimen sejak 2008.

"Saya tidak dapat bayangkan politik Malaysia tanpa jejak saudara. Sokongan saya buat saudara," katanya.

Terdahulu Khairy memuji Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen contoh dan "lawan yang berbaloi".

Dalam kenyataan media pagi tadi, Nurul Izzah berkata, beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tetapi akan melepaskan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Kata Nurul Izzah, pengumuman untuk meletak jawatan sepatutnya dibuat awal tapi ia bukan sesuatu yang mudah.

Artikel Sebelum

Adib meninggal dunia di IJN

Artikel Lain