suria

Pemimpin Umno keluar parti antara punca Nurul Izzah letak jawatan

Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang dipercayai disebabkan kekecewaan beliau dengan percaturan politik yang berlaku dalam parti dan PH.

Satu sumber rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Nurul Izzah amat tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi hingga menjejaskan usaha PKR untuk melakukan reformasi dalam kepimpinan negara.

Menurutnya, ia juga ada kaitan dengan kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam parti gabungan PH kerana dengan menerima bekas pemimpin itu, ia mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat dalam PRU14.

"Nurul Izzah kata kesepakatan dan persetujuan parti dalam PH yang disepakati sebelum ini perlu dihormati, kenapa tergesa-gesa menerima mereka yang lompat untuk dapat majoriti dua pertiga?

"Sebab itu beliau letak jawatan kerana dengan menjadi 'backbencher', beliau boleh menjadi lebih lantang melaksanakan agenda reformasi dan menuntut semua janji pilihanraya.

"Apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan dan parti, Nurul Izzah rasa beliau sukar untuk meneruskan agenda perjuangan yang digagaskan ayahnya dan rakan-rakan yang lain," kata sumber berkenaan ketika ditemui pada Isnin.

Kata sumber itu lagi, Nurul Izzah seorang yang popular dalam PKR dan politik Malaysia, beliau menjadi tulang belakang kepada Anwar.

"Mendapat 80,000 undi untuk jawatan naib presiden. Lebih popular daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali," katanya.

Katanya, peletakan jawatan ini jelas menunjukkan beliau mempunyai prinsip dalam menegakkan kebenaran hingga sanggup ketepikan jawatan dan kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan media pagi tadi, Nurul Izzah berkata, beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tetapi akan melepaskan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Kata Nurul Izzah, pengumuman untuk meletak jawatan sepatutnya dibuat awal tapi ia bukan sesuatu yang mudah.

Sumber itu berkata, dengan peletakan jawatan berkenaan, ia jelas menunjukkan Nurul Izzah seorang yang berprinsip demi menegakkan kebenaran kerana sanggup melepaskan jawatan penting. - Sinar Harian

Nurul Izzah, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain