Malaysia rugi RM47 bilion akibat rasuah tahun lalu - Dr Wan Azizah - Semasa | mStar

Malaysia rugi RM47 bilion akibat rasuah tahun lalu - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami ‘kerugian' RM47 billion daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) sepanjang tahun lepas disebabkan gejala rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata amaun yang hampir sama, yakni nilai sekitar empat peratus daripada KDNK dicatatkan hilang disebabkan rasuah setiap tahun sejak 2013 menurut Transparency International Malaysia.

"Apa yang kita boleh buat dengan RM47 billion? Ia adalah jumlah yang lebih besar daripada apa yang kita belanjakan untuk pendidikan, dan hampir dua kali ganda jumlah yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan tahun lepas. Bayangkan apa yang kita boleh buat jika kita ada akses kepada wang ini; jika ia digunakan untuk membaiki jalanraya yang berlubang, melegakan kesesakan di hospital awam kita atau menyediakan biasiswa kepada mereka yang layak untuk maju dalam pelajaran?

"Bayangkan jika semua golongan yang lemah dalam masyarakat kita – wanita dan kanak-kanak – tidak perlu bergantung kepada rasuah dan “kenal orang dalam” untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di forum United Against Corruption: Anchoring Anti-corruption In Good Governance Forum, di sini, Isnin.

Beliau berkata hakikatnya berbeza daripada pandangan ramai, rasuah sebenarnya bukan hanya berlaku di peringkat tertinggi kerajaan sahaja. 

“Laporan PricewaterhouseCooper pada tahun 2016 menunjukkan aktiviti rasuah di kalangan syarikat-syarikat swasta di Malaysia naik daripada 9 peratus pada tahun 2014 kepada 30 peratus pada tahun 2016. Di peringkat bawah lagi, anda akan lihat contoh-contoh dalam aktiviti harian seperti cuba merasuah untuk mengelak daripada saman trafik,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan bertukar dengan pantas pada bulan Mei lepas, namun masa yang panjang akan diperlukan oleh kerajaan untuk menangani gejala rasuah yang sudah menjadi ‘endemik' ini.

“Saya tidak boleh bermimpi yang perubahan akan berlaku dalam sekelip mata, tapi saya yakin pakatan baru yang bekerjasama dalam usaha menumbangkan rejiim kleptokratik, akan bertungkus lumus  untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang berkekalan, yang akan melindungi kepentingan semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mengukuhkan institusi penguatkuasa, mengemaskini tatacara yang meliputi semua Anggota Parlimen dan penjawat awam, memastikan saringan integriti ditetapkan sebagai standard bagi mereka yang berhasrat untuk berkuasa, dan menghindari perlakuan melobi ikut ‘pintu belakang' oleh pihak industri.

Pada masa yang sama Wan Azizah menolak dakwaan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kerajaan yang memberikan banyak tumpuan kepada usaha membanteras rasuah berbanding ekonomi, akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lemah.

“Saya tegaskan di sini, kedua-dua perkara itu bukan bersifat eksklusif. Usaha kita yang berkekalan bagi membaiki akauntabiliti dan ketelusan, bertindak sebagai daya penarik kepada pelaburan mapan yang akan membantu kita berkembang maju,” katanya.

Katanya beliau bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang bekerja keras menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah, di mana Pusat Urus Tadbir, Integriti, dan Anti Rasuah (GIACC) adalah Sekretariatnya, bagi menampilkan dasar-dasar serta inisiatif baharu bagi membanteras rasuah.

“Kami juga sedang menyediakan deraf lima tahun Rancangan Anti Rasuah Kebangsaan di bawah GIACC yang akan menjadi pelan holistik dalam perjuangan berterusan membasmi rasuah dan bersetuju untuk menyumbang RM500,000 kepada Pertubuhan Antarabangsa Pihak Berkuasa Anti Rasuah (IAACA), yang akan membantu dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan anti rasuah,” katanya.

Beliau berkata usaha ini sudah mulai menampakkan hasil, antaranya apabila Malaysia ditempattkan di tangga keempat daripada 12 ekonomi Asia Pasifik dari segi akauntabiliti dan ketelusan pasaran berdasarkan kepada laporan Persatuan Urus Tadbir Korporat Asia tahun ini.

Selain itu katanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan peningkatan 379 peratus kelulusan dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam tempoh dari bulan Mei sehingga September.

“Ini adalah petunjuk-petunjuk yang ekonomi sedang berkembang maju,” katanya.-- Bernama   



Wan Azizah , rasuah KDNK

Artikel Sebelum

Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain