suria

Dua Datuk didakwa terima RM50,000 deposit haram

TAIPING: Dua ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima deposit haram daripada seorang pelabur berjumlah RM51,673 sejak tiga tahun lalu.

Datuk M. Pandeyan, 57, dan Datuk Ameer Noraizeedin Abdul Wahab, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Suhaima Mohd Noor yang bertindak bagi pihak hakim Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menerima deposit daripada T R Subramaniam, 54, berjumlah RM47,273 tanpa lesen yang sah di Public Bank Cawangan Taiping antara 23 Julai hingga 18 Ogos 2015.

Pandeyan juga mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada A. Joseph Shanmugan, 49, berjumlah RM4,400 tanpa lesen sah, pada 14 April 2016, kira-kira 3.17 petang di lokasi yang sama.

Kedua-kedua pertuduhan mengikut Seksyen 137(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Pandeyan diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan manakala Ameer diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb depan bagi sebutan semula kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail sementara peguam Md Yunos Shariff mewakili Pandeyan, manakala Ameer tidak diwakili peguam.-- Bernama   



Datuk, deposit haram

Artikel Lain