Saifuddin perlu letak jawatan menteri atas kesilapan ICERD - KJ - Semasa | mStar

Saifuddin perlu letak jawatan menteri atas kesilapan ICERD - KJ

Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah untuk meletak jawatan di atas kegagalan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menerusi siri tulisan di akaun Twitter beliau pada Jumaat, Khairy berkata, Saifuddin sebagai menteri seharusnya mengambil tanggungjawab ke atas perkara itu, kerana ia bukan kesilapan kecil.

"Seperti yang dijangkakan (Saifuddin dan Wisma Putra) menyebabkan kesilapan besar dengan tidak memikirkannya secara mendalam dan meyakinkan (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk membuat komitmen pada UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

"Bukan kejayaan besar Wisma Putra," tulisnya.

Ahli Parlimen itu turut membuat pautan pada Saifuddin dalam satu tulisan di twitter yang menyebut: "Menteri Luar perlu mengambil tanggungjawab dan letak jawatan. Ia bukan satu kesilapan kecil.

"Komitmen telah dibuat dalam ucaptama PM pada UNGA (untuk meratifikasi ICERD). Bukan dalam ceramah kampung."

Beliau turut menulis di Twitter bahawa Saifuddin perlu bertanggungjawab kerana membuat komitmen berhubung perkara tersebut, yang tidak mendapat sokongan oleh majoriti rakyat.

"Beliau (Saifuddin) tidak memikirkannya secara mendalam," tambah Khairy.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota tidak memberi respons terhadap siri tulisan Twitter oleh Khairy.

Bagaimanapun, Saifuddin menerusi tulisan kepada pengguna Twitter yang lain, memberitahu bahawa kerajaan tidak tergesa-gesa dalam keputusannya untuk tidak meratifikasi konvensyen antarabangsa.

"Tiada orang yang tergesa-gesa, saya telah berkata begitu banyak kali, tidak tergesa-gesa," katanya.

Dalam tulisan di Twitter terdahulu, Saifuddin berkata, mereka yang membantah ICERD "tidak membaca teks ICERD, mentafsirkan perlembagaan dengan betul, bergerak dari politik bangsa atau tidak mahu membahaskannya". - The Star

Artikel Berkaitan

Artikel Lain