suria

Pemandu rempuh pelanggan restoran didakwa bunuh

PETALING JAYA: Pemandu trak pikap yang merempuh pelanggan di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, didakwa kerana membunuh, di mahkamah majistret di sini, Jumaat.

Wilsonresa Anak Dudom, 20, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Wong Sow Lin, 58, pada pukul 8.20 malam 18 November lalu.

Dia berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tiada ikat jamin dibenarkan berikutan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Wilsonresa yang tidak diwakili berkata, dia memahami pertuduhan itu.

Majistret, Mohd Nor Hafidzuddin Yusof menyatakan sebutan kes yang ditetapkan pada 8 Januari.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran.

Ahad lalu, seorang pemandu trak pikap merempuh meja di kawasan terbuka di pusat penjaja, mengakibatkan seorang wanita maut dan tiga lagi cedera.

Selepas rempuhan itu, pemandu terus memandu dan melanggar tiga kenderaan lain di kawasan berkenaan.

Suspek ditahan pada Isnin lalu.

Artikel Lain