suria

Hishammuddin yang mana satu?

JOHOR BARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah menjelaskan individu yang ingin dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan peruntukan kerajaan berjumlah RM49.5 juta.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakil bekas Ketua Pengarah Organisasi Peri­sikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid berkata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Mahkamah Majistret menyebut "Hishammuddin".

"Melainkan terdapat seorang lelaki lain dengan nama Hishammuddin, maka semua orang di mahkamah telah melakukan kesilapan.

"Ia boleh jadi Hishammuddin Ah Chong atau Hishammuddin Ali atau Hishammuddin Ahmad dan ini tiada kaitan dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya di sini pada Ahad.

Bernama melaporkan reman Hasanah dilanjutkan sehingga petang Isnin bagi membantu siasatan SPRM.

Majistret Intan Syafinaz Ros'lin melanjutkan tempoh reman berkenaan sehingga 5 petang Isnin selepas membenarkan permohonan SPRM.

Shaharudin berkata ia adalah DPP yang meminta majistret sama ada beliau harus menyebut nama individu yang ingin dipanggil SPRM.

"Majistret kata ya dan DPP jawab:'Ya, ia Datuk Hishammuddin, kami mahu menyoal siasatnya," kata Shahruddin sambil menambah Hasanah segera memberitahu mahkamah bahawa bekas menteri pertahanan itu bukan individu tersebut.

"Namun DPP tidak menjawab," katanya.

Bagaimanapun, sebuah portal berita memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menafikan akan menyiasat bekas menteri pertahanan itu.

"Tidak, saya tidak dimaklumkan. Pegawai saya tidak beritahu saya. Jadi saya kira itu tidak betul," katanya.

Terdahulu, ketibaan Hasanah di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9.55 pagi disambut beberapa wanita dipercayai anggota keluarganya yang memeluk dan menciumnya.

Selain Hasanah, turut direman sebelum ini ialah enam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seorang timbalan pengarah bergelar Datuk yang bertugas di MEIO atau Jabatan Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.

Ketujuh-tujuh mereka yang direman lima hari dari Selasa dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

Sehingga kini sembilan orang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SPRM, Hishammuddin

Artikel Sebelum

Suami sebak lihat isteri menagih

Artikel Berikut

Bukan mudah jadi PM sekarang

Artikel Lain