suria

Suami sebak lihat isteri menagih

Wanita itu ditahan pihak AADK Tanah Merah selepas dapatkan bekalan dadah.

TANAH MERAH: Alasan seorang wanita yang mahu ke kedai untuk membeli rokok rupanya hanya helah kepada suaminya untuk menagih dadah.

Lebih mengejutkan wanita itu ditangkap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah selepas membeli bekalan dadah.

Perbuatan wanita anak tiga berumur 25 tahun itu kantoi, setelah ditahan dalam Operasi Perdana yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Bunga.

Lebih memilukan, perbuatan isteri mempunyai tiga anak itu disaksikan sendiri suami dan anak berusia empat tahun ketika mengekorinya sehingga 'port' dadah di Kampung Renub, Bukit Bunga.

Sebelum ini difahamkan wanita itu pernah ditahan dan masuk pusat pemulihan

Ketua Operasi AADK Daerah Tanah Merah, Basri Manshor berkata, dalam ops itu seramai tujuh anggota penguatkuasa AADK daerah menyertai serbuan bersama empat anggota Unit Antidadah Sempadan (UAS) Bukit Bunga.

“Seramai 12 penagih ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun, dalam ops kali ini termasuk seorang wanita yang positif dadah jenis Methamphetamine.

“Dari jumlah yang ditahan, sembilan orang di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983 manakala tiga lagi diserahkan kepada polis kerana memiliki air ketum sebanyak 1.8 liter dan daun ketum seberat 100 gram,” katanya.

Basri berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dengan kerjasama semua pihak termasuk polis dalam usaha mengekang kegiatan penagihan dadah di daerah ini.

“Usaha berterusan sentiasa dijalankan dan kita mengharapkan orang awam juga dapat menyalurkan maklumat berhubung jenayah dadah yang menjadi musuh utama negara.

“Ini penting bagi memastikan penagih dapat pulih sepenuhnya selepas ditahan dan tidak mengulangi perbuatan menagih semula memandangkan ia bukan sahaja menyebabkan masa depan penagih musnah malah ia mengundang persepsi negatif masyarakat sekeliling dan perkara ini perlu dibendung secara berterusan. - Sinar Harian

penagih, dadah

Artikel Lain