suria

Tak lepas potong treler, wanita baru 2 hari bergelar 'tunangan orang' maut

Mangsa maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta.

GUA MUSANG: Mangsa kemalangan maut di Kilometer 23, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, awal pagi Ahad, baru dua hari bergelar tunangan orang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Nur Syazwani Mohd Hanapi, 26, beralamat di Kok Lanas, Ketereh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas gagal memotong treler dan merempuh bas ekspres dari arah bertentangan.

Adik mangsa, Muhammad Syazwan, 25, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki bersama berpusing beberapa kali selepas merempuh bas.

Katanya, dia bertolak dari rumah di Kok Lanas pada pukul 4.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan mereka akan mula bertugas hari ini.

"Ia berlaku sekelip mata. Pada pukul 5.50 pagi, saya sedar dan bertanya kepadanya nak solat Subuh di mana. Arwah kata, dia akan berhenti di Hentian Rantau Manis.

"Jadi saya tidur semula dan hanya sedar kereta berpusing. Saya lihat ke kanan, dia sudah tiada di tempat duduk. Arwah tercampak keluar," katanya yang bertugas sebagai anggota tentera darat di Kementah, Kuala Lumpur.

Sementara itu, bapanya Mohd Hanapi Yusoff, 54, berkata, Allahyarham baru sahaja bertunang dengan pilihan hatinya iaitu seorang kontraktor dari Jerteh, Terengganu, Jumaat lalu.

Menurutnya, kereta yang dinaiki Allahyarham juga baru dibeli April lalu dan ini kali kedua dia pulang menaiki kereta tersebut.

"Tiada sebarang perubahan ditunjukkan malah arwah nampak gembira.

"Dia belum menetapkan tarikh perkahwinan, hanya bertunang dahulu. Saya tak sangka, cepat dia 'pergi' meninggalkan kami. Bagaimanapun, kami reda," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Gua Musang, Ahad.

Mohd Hanapi berkata, pagi sebelum kejadian, isterinya yang mengejutkan Allahyarham dari tidur untuk memulakan perjalanan.

"Sebelum ini, dia tak pernah memulakan perjalanan awal pagi. Tapi nak elak kesesakan, dia berpakat dengan Syazwan untuk bergerak lebih awal.

"Malah, ketika turun dari rumah dia tidak bersiap seperti kebiasaan. Hanya pakai baju lusuh berlengan panjang, seluar trek dan selendang," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Akil, Ketereh, selepas solat Asar, Ahad.- Sinar Harian.

Artikel Lain