suria

Kes tenaga solar: Bekas pegawai khas Najib dibebaskan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak, dibebaskan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Ahad.

Majistret Chyfica Mohamed Zamri membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meminta lanjutan reman.

Lelaki berusia 44 tahun bergelar 'Datuk' itu sebelum ini direman enam hari sejak Selasa lalu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

Beliau ditahan pada Isnin selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan.

Peguam yang mewakili beliau, Ridha Abdah Subri, turut hadir di mahkamah pada Ahad.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Peserta triatlon lemas

Artikel Berikut

Artikel Lain