suria

Detik Anwar bebas: Agong perkenan rayuan pengampunan

TARIKH 16 Mei 2018 menjadi detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan Lembaga Pengampunan Diraja bertitah memperkenan rayuan pengampunan penuh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, Anwar diberikan pembebasan serta merta berkuatkuasa hari ini.


Anwar tiba di kediamannya di Bukit Segambut kira-kira pukul 1.35 petang.

Beliau dijadualkan mengadakan sidang media di sana pada pukul 4 petang.

Selesai menghadap Sultan Muhammad V, kenderaan membawa Anwar dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 kira-kira pukul 1 petang dan dipercayai menuju ke kediamannya di Bukit Segambut.

Wartawan dan jurugambar kemudian bergegas meninggalkan Istana Negara dan menuju ke kediamannya.

Anwar tiba di Istana Negara kira-kira pukul 11.45 pagi untuk bertemu Sultan Muhammad V.

Sebaik tiba di sana, beliau disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar memasuki perkarangan Istana Negara menerusi Pintu 1 tetapi pengamal media tidak dibenarkan menunggu di sana.

Sebaliknya mereka hanya dibenarkan untuk berkumpul di Pintu 2.

Terdahulu, Anwar dibebaskan tepat pukul 11.30 pagi ini.

Proses pembebasan Ketua Umum PKR itu dilakukan di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini tanpa perlu dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar meninggalkan perkarangan hospital tanpa memberikan sebarang komen kepada media.

Beliau dengan tersenyum hanya melambai-lambai ke arah wakil media dan penyokongnya yang memenuhi pekarangan hospital berkenaan sebelum ke Istana Negara.

Dr Mahathir Mohamad telah berada di Istana Negara untuk terlibat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja yang berlangsung pada pukul 11 pagi.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil, Anwar akan pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Beliau akan ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

Turut kelihatan di perkarangan hospital adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar dijangka pulang ke kediaman beliau di Bukit Segambut dan akan mengadakan sidang media sekitar pukul 4 petang.

Menurut Fahmi lagi, Anwar akan bersolat tarawih di kediaman beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur malam ini.

Beliau kemudian akan ke Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya.


Terdahulu, Lembaga Pengampunan Diraja bersidang pada pukul 11 pagi tadi berhubung permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja kepada Anwar.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain