suria

Jenazah Elyas Omar selamat dikebumikan

Datuk Mohd Hanafiah Omar, adik ketiga, Elyas, tidak dapat menahan sebak ketika ditanya pengamal media mengenai abangnya di Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang hari ini. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada 11.35 pagi tadi.

Lebih 300 orang terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan rapat Allahyarham berada di tanah perkuburan itu bagi memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang hadir ialah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Terdahulu, jenazah Elyas dimandi dan dikafankan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang Jaya sebelum disolatkan.

Allahyarham yang dilahirkan pada 16 Nov 1936 di Pulau Pinang, meninggal dunia pada 7.15 malam semalam akibat pelbagai komplikasi kesihatan.

Elyas, 82, pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 hingga 1993, dengan rekod kejayaan membantu negara menjulang Piala Thomas pada 1992.

Allahyarham juga pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan membimbing pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dari 1987 hingga 1989.

Elyas dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga pada 1981 dan berkhidmat sehingga 1992 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada Januari 2005 hingga April 2008. - BERNAMA

Elyas Omar

Artikel Sebelum

Artikel Lain