suria

Kalau tau, kita ‘lesing’! – Anwar

Anwar Ibrahim pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya, Rabu malam. Foto Reuters

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat Malaysia memantau setiap wakil rakyat, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Saya nak saudara-saudari jadi pemantau, selepas pilihan raya juga pemantau wakil-wakil rakyat kita yang dipilih. 

“Kalau nampak gaya-gaya lebih, selepas menang tiga bulan nikah satu lagi… tukar kereta, beli apartment baru. Kalau kita tau, kita ‘lensing’. 

"Perlu diingat, ia (wakil rakyat) adalah tanggungjawab bukan keistimewaan,” katanya semasa berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur di sini, Rabu malam.

Ketua Umum PKR itu turut mengingatkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat secara telus tanpa salah laku dan ketirisan.

“Saya mahu rakyat supaya terus memantau, memastikan wakil-wakil rakyat kita. (Kepada wakil rakyat) jangan jadi sombong, jangan jadi takbur. 

“Ingat derita kita sekian lama berjuang. Ingat berapa ramai wakil Adun dan ahli Parlimen, berapa ratus ribu dan berjuta tak dapat apa-apa kerana berjuang dengan ikhlas. Jadi, pegang amanah. Jangan cuai,” tegasnya.

Himpunan Merdeka Rakyat diadakan sempena meraikan pembebasan Anwar pada Rabu. 

Selain Anwar, pemimpin PH yang turut hadir adalah Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Anwar, 71, dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan Lembaga Pengampunan Diraja bertitah memperkenan rayuan pengampunan penuh terhadap Anwar.

Ketua Umum PKR itu dibebaskan serta-merta pada Rabu tanpa sebarang syarat, malah rekod lampaunya juga terpadam.


Artikel Lain