suria

Nik Omar dedah sebab tanding tiket Pakatan Harapan

Nik Omar Nik Abdul Aziz. Foto Glenn Guan/The Star

SHAH ALAM: Calon Pakatan Harapan (Harapan) yang juga anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar mendakwa, PAS hari ini berbeza dari sudut pendekatan, namun masih tetap sama pada dasarnya.

Disebabkan itu, Nik Omar berkata, beliau memilih Harapan yang dilihat mempunyai lebih kekuatan untuk dipilih rakyat sebagai kerajaan baharu pada PRU14 ini.

Beliau yang bertanding di kerusi DUN Chempaka berkata, kekuatan Harapan terletak pada gabungan parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan Amanah yang dilihat lebih realistik untuk menang PRU14, berbanding Pas yang memilih bergerak sendiri di bawah Gagasan Sejahtera.

“PAS berbeza dari sudut pendekatan. Dari sudut dasar tetap sama. Sebelum ini zaman Tok Guru (Nik Abdul Aziz) pendekatan dia sanggup bergabung dengan DAP. Untuk apa? Untuk pastikan jalan menuju Putrajaya itu lebih mudah. Untuk mendapat sokongan, sebab kita terlibat dengan politik.

"Ada pun sekarang ini maknanya dia (PAS) suka bersendirian, walaupun dia ada Gagasan Sejahtera tetapi ia tidak kuat. Itu yang membezakan, tapi kita hormat pandangan masing-masing. Jadi kita serah kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika sesi FB Live Sinar Harian di sini, Khamis.

Nik Omar berkata, apa yang diperkatakan itu bukanlah bermakna PAS tidak mempunyai kekuatan tetapi jelasnya, hanya PAS yang dilihat lebih kuat dalam Gagasan Sejahtera.

“Kalau rakyat tengok Gagasan Sejahtera itu hebat, mampu mentadbir Malaysia, sokonglah. Tetapi, saya hanya nampak PAS sahaja kuat. Gagasan Sejahtera itu hanya pada nama. Siapa yang bersama dengan PAS? Tiada kekuatan, yang ada kekuatan adalah Harapan.

“PAS kuat kerana berpegang dengan dasar Islam, cuma dia tidak kuat kerana gabungannya tidak kuat. Dia hanya bersendirian. Tok Guru biasa sebut kalau kita bersendirian, kita tidak akan menang. Itu logik,” katanya.

Ditanya mengenai Harapan ingin mempergunakannya bagi meraih kemenangan mudah atas sebab aura Nik Abdul Aziz, beliau menjawab: “Ambo rasa kalau digunakan untuk kebaikan comei lah. Tiada masalah.”

Sementara itu, Nik Omar menegaskan beliau sehingga hari ini bukan ahli Amanah, tetapi bertanding di DUN Chempaka atas tiket Harapan.

“Sehingga hari ini saya tidak menjadi ahli Amanah. Cuma saya bertanding atas tiket Harapan dan saya lihat asas keseluruhan pimpinan Amanah datangnya daripada PAS.

"Saya lihat asas keseluruhan pimpinan Amanah datangnya daripada PAS. Maknanya satu pandangan cuma berbeza daripada sudut pendekatan. Kalau bersama Amanah sekali pun kebanyakannya daripada PAS juga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya adakah beliau sudah bertemu ibunya selepas mengambil keputusan bertanding pada PRU14,  beliau memberikan jawapan ‘berteka-teki’ dengan berkata: “Insya-ALLAH. Alhamdulilah. Doakan ambo”. - Sinar Harian

Nik Omar, PAS

Artikel Lain