suria

Perak: 71 pusat mengundi awal dibuka Sabtu ini

IPOH: Sebanyak 71 pusat mengundi awal dengan 117 saluran akan dibuka di seluruh Perak, Sabtu ini bagi proses mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang melibatkan 37,407 pengundi.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail berkata pengundi awal di negeri itu membabitkan 23,634 anggota tentera dan 13,773 polis.

Katanya pusat mengundi awal yang terlibat kebanyakannya di kem tentera, ibu pejabat polis daerah dan kem Pasukan Gerakan Am.

“Sebanyak 71 pusat mengundi terdiri daripada 55 pusat mengundi untuk anggota polis, manakala 16 lagi adalah untuk  tentera,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Katanya, 356 petugas terlibat pada hari pengundian awal yang terdiri daripada 18  penyelia pusat mengundi, kerani penyemak daftar pemilih (66), penunjuk arah pusat mengundi (155) serta anggota polis (117).

Dalam pada itu, Mohd Nazri mengingatkan pengundi supaya hadir awal di pusat mengundi yang ditetapkan  serta membawa dokumen pengenalan diri bagi memudahkan proses pengundian.

“Bagi pengundi yang baru bersara tetapi nama masih dalam senarai undi awal  mereka  perlu  mematuhi peraturan untuk masuk ke pusat mengundi bagi memudahkan urusan pengundian,” katanya.

Terdapat 1.51 juta pengundi berdaftar di Perak pada pilihan raya umum kali ini.- Bernama

Perak, Pusat mengundi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain