suria

Orang Tertua Di Baling Kongsi Rahsia Masih Gagah

Bakar Ismail, 93, masih gigih mengayuh basikal dua hingga tiga kali sehari dari rumahnya di Kampung Jalan Haji Abas ke Pekan Baling pada jarak satu setengah kilometer setiap hari.-fotoBERNAMA

BALING: Walaupun sudah berusia 93 tahun, warga emas ini masih gagah untuk berkayuh basikal dua hingga tiga kali sehari ke pekan Baling yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari  rumahnya.

Bakar Ismail dari Kampung Jalan Haji Abas di sini menggunakan basikal sebagai kenderaan utamanya untuk ke mana-mana sejak remaja hingga kini.

"Dulu mana mampu nak beli kenderaan lain. Alhamdulillah, sekarang ni masih mampu pada setiap pagi untuk ke pekan Baling semata-mata minum kopi sebelum ke pasar," katanya sambil tersenyum ketika ditemui.

Bakar yang dipercayai  warga emas tertua di daerah Baling juga yakin aktiviti berbasikal yang dilakukannya sejak berdekad lalu menyumbang kepada kesihatannya yang baik dan  tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.

Menurutnya, jika ada kenduri-kendara atau perjumpaan masyarakat dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer, dia akan mengayuh basikal ke majlis berkenaan.

"Setakat dua atau tiga kilometer tak ada masalah nak berkayuh basikal tapi janganlah lebih dari itu, nanti dimarah keluarga pulak," katanya.

Bakar dipercayai warga emas tertua di daerah Baling.

Pesara buruh am di Sekolah Inggeris Tunku Putra Baling yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Tunku Putra itu sering menerima kunjungan pihak tertentu dan juga pelajar institusi pengajian tinggi yang mahu mengetahui sejarah Rundingan Baling.

Rundingan  itu berlangsung pada 28 Disember 1955 di antara pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Chin Peng dengan pihak kerajaan Malaya yang diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj serta baberapa wakil kerajaan Inggeris.

Bakar antara ribuan rakyat yang membanjiri kawasan luar pagar sekolah berkenaan ketika rundingan bersejarah tersebut berlangsung.

Bapa kepada enam anak dan 15 cucu yang masih boleh bertutur bahasa Jepun ini berkata dia turut mengamalkan minum air kosong dalam kuantiti yang banyak serta tidak mengambil makanan yang terlalu manis.

"Saya masih makan nasi dua kali sehari waktu tengah hari dan malam tetapi sedikit sahaja untuk mengelak daripada lapar serta tidak minum air ketika makan nasi," kata Bakar yang  turut mengakui ramai datang bertanyakan rahsia kesihatannya.

"Saya hanya beritahu mareka saya tiada sebarang ilmu selain sentiasa mengamalkan berkayuh dan tidak mengambil makanan yang terlalu berlemak dan minum minuman yang terlalu manis," katanya.

Bakar berkata bagi menampung kehidupannya dan isteri Zakiah Ismail, 63, dia turut melakukan kerja-kerja kampung untuk menambah pendapatan yang diterima menerusi pencen RM400 sebulan.

Pada masa sama dia turut berharap ada pihak yang sudi membantunya ke Makkah untuk mengerjakan haji atau umrah memandangkan dengan wang pencen tersebut dia tidak mampu berbuat demikian secara sendirian. -Bernama

Bakar Ismail, Baling

Artikel Lain