suria

Mak Andam Kampung Segan Mengaku 'MUA'

MAK andam kampung bukan sembarangan, sentuhan seni solekkannya mampu membuka mata ramai orang. Itulah bakat semula jadi yang dimiliki Rosliza Awang Kechik.

Wanita berusia 35 tahun yang terkenal dengan gelaran 'Mak andam kampung' ini ternyata berjaya mencipta penanda arasnya tersendiri menerusi seni dan teknik menata rias dan melukis pada wajah.

Bangga dengan gelaran mak andam kampung, Rosliza sentiasa fokus dan komited melaksanakan tugas solek dan andam dengan misi memberi kepuasan kepada pelanggan. Malah, seni solekkannya hampir boleh menandingi jurusolek bernama besar.

Rosliza dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panching berkata, dia selesa dengan gelaran ‘Mak Andam Kampung’ memandangkan hanya tinggal di kawasan kampung sahaja.

“Gelaran tu sesuai dengan saya. Pada mulanya saya hanya terima jemputan solek daripada jiran sekampung dan kawan-kawan yang percaya kepada kebolehan saya dan bukan berdasarkan taraf pendidikan.

“Segan juga saya nak gelar diri sebagai Make Up Artis (MUA) memandangkan tak ada sebarang sijil atau kelayakan bertulis yang boleh ditunjukkan.

“Jadi bila orang bertanya, saya lebih senang mengaku sebagai mak andam kampung yang tidak ada apa-apa hanya berdiri atas kebolehan dan bakat semula jadi. Bimbang juga dipertikaikan mereka yang nak gunakan khidmat saya. Yelah, sebabnya ada sesetengah pelanggan meletakkan harapan yang tinggi,” katanya.

Terkenal menerusi mulut ke mulut

Ibu empat cahaya mata ini memberitahu, dia mula bermain dengan berus dan warna sebagai jurusolek secara serius sejak 2004 ketika berusia 21 tahun sementara pelanggan utamanya adalah dalam kalangan jiran dan rakan.

Bakat dan kerjayanya semakin berkembang hasil promosi mulut ke mulut daripada mereka yang berpuas hati dengan hasilnya.

Dalam pada itu katanya, tidak mahu berada di takuk lama sebagai jurusolek pengantin sahaja maka dia mula mencabar diri sendiri untuk mula membuat solekan seni sekitar 2016.

“Sejak di bangku sekolah minat terhadap seni begitu mendalam dan hanya itulah subjek yang paling cemerlang. Sehingga sekarang masih tak boleh tinggalkan sebarang kerja melibatkan seni kreatif.

“Melangkah setapak lagi, saya semakin berani buat solekan wajah yang lebih ekstrem. Setakat ni saya dah buat kira-kira 30 koleksi solekan seni seperti wajah-wajah selebriti terkenal, adi wira, zombi, maskurate dan macam-macam lagi.

“Selain teruskan kerja-kerja mak andam di kampung, saya juga perlukan cabaran untuk lebih maju dalam dunia persolekan.

"Maka, melalui penyertaan pertandingan secara atas talian di laman sosial, saya telah beberapa kali berjaya mendapat tempat. Ini membuatkan saya makin berminat untuk terus mencuba dan puas apabila dapat pengiktirafan walaupun hanya dalam kelompok yang kecil sahaja,” katanya.

Rosliza bergambar bersama pengantin yang disolek olehnya.

Belajar menerusi internet

Katanya, proses menata rias dan melukis di atas wajah ini memerlukan penelitian dan ketekunan kerana ia adalah hasil seni yang cukup menyerlah.

“Nampak mudah, tapi kualiti pembuatan dan kekemasan harus dijaga. Kesabaran amat penting, jika tak hasil kerja tak berkualiti dan pastinya nampak cacat celanya.

“Kebiasaannya saya ambil masa tiga hingga empat jam untuk menyiapkannya. Bila siap saya akan muat turun gambar di laman sosial @ZaRoss Indahsana agar mereka di luar dapat memberi komen bernas supaya saya dapat memperbaikinya lagi.

“Saya tak marah jika dikecam atau sebaliknya. Malah, kerja-kerja kreatif ni jadi tak bosan untuk saya buat berulang kali pada masa akan datang, lebih-lebih lagi bila dapat bermain dengan warna-warna membuatkan timbul rasa semangat walaupun ada kalanya ambil masa lama menyiapkannya,” katanya.

Tambahnya, dia hanya mendapatkan maklumat mempelajari solekan dan mengasah teknik dan dapatkan idea-idea menata rias dan melukis pada wajah ni melalui intenet saja.

“Beribu kali saya menonton video menerusi YouTube untuk belajar terutama teknik solekkan. Dalam masa sama dapat tambah baik idea yang ada. Tak kira sama ada hasil jurusolek tempatan atau luar negara saya memang teruja.

“Sekali buat memang agak kekok, tapi bila kita selalu berlatih ia akan mahir. Memang saya utamakan latihan, sebab saya tidak pergi ke mana-mana kelas atau mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang ini hanya dengan asas yang ada saya cuba memahaminya.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki dan peluang, saya nak belajar buat solekan bencana seperti cedera parah, kudis, cacat atau torehan di bahagian muka yang nampak nyata. Solekan ini mempunyai teknik dan bahan-bahan sampingan yang digunakan selain memerlukan rujukan mereka yang lebih pakar,” katanya. - Sinar Harian

mak andam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain