suria

RCI Memali: Tun M Sedia Beri Kerjasama

Tun Dr Mahathir Mohamad.

MACHANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan akan memberinya peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku pada peristiwa Memali sekiranya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenainya ditubuhkan.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada RCI itu bagi mendedahkan kebenaran kepada umum.

"Saya alu-alukan adanya RCI Memali kerana pada masa itu, kita boleh dedah apa yang berlaku. Saya sedia (beri kerjasama) dan saya minta diberi peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku lebih 30 tahun dahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Pakatan Harapan Kelantan di sini, Jumaat.

Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan RCI itu bagi ketahui kebenaran, fakta dan sekiranya ia boleh mendatangkan kebaikan. 

Dalam peristiwa Memali itu, seramai 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap seorang guru, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Mengulas mengenai penyebab utama peristiwa itu berlaku, Dr Mahathir mendakwa ia terjadi berikutan peranan pemimpin tertentu yang mempengaruhi pemikiran politik Islam pada masa itu menerusi suatu amanat yang memuncak sebelum pertumpahan darah itu berlaku.

"(Peristiwa Memali berlaku) kerana (adanya) desakan pemimpin yang janjikan syurga,” dakwa beliau yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dr Mahathir juga memberitahu bahawa polis terpaksa bertindak terhadap penduduk kampung berkenaan selepas mereka membunuh empat anggota polis itu.
“Kalau tak bunuh polis... mereka (polis) tak akan balas," katanya.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS dan anggota keluarga mangsa meminta kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat peristiwa Memali itu. - Bernama

Memali

Artikel Berikut

Artikel Lain