suria

Ku Nan Beri Amaran

Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Semua tapak perniagaan yang disediakan di Wilayah Persekutuan adalah untuk warganya dan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi terhadap peniaga luar yang cuba merampas tapak perniagaan itu, kata Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Beliau berkata, untuk berniaga di tapak terbabit, setiap warga Wilayah Persekutuan perlu lulus syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain perlu melalui cabutan undi.

"Semalam (Jumaat), saya telah meminta pihak polis, DBKL dan Angkatan Pertahanan Malaysia untuk membuat pemantauan berterusan bagi mengelakkan peniaga dari negeri lain cuba berniaga di kawasan-kawasan tapak perniagaan di sini.

"Jika ianya terjadi lagi, kita akan ambil tindakan segera terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan duit raya sempena program Jom Shopping Raya 2017 anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), di sini Sabtu.

Tengku Adnan mengulas mengenai pergaduhan antara peniaga luar yang dikatakan cuba merampas tapak perniagaan daripada peniaga asal di kawasan Masjid India, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DBKL telah membuat laporan polis berhubung insiden dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain